Header Ads

Makan Nasi Goreng Udang Dekat Sampan Tsunami Kuala Muda Kedah


"Nasi goreng Udang Kuala Muda"

Kuala Muda, Kedah. Sebuah perkampungan nelayan di persempadanan Kedah dan Pulau pinang. Kedah yang mendapat jolokkan Jelapang Padi Malaysia semestinya berpunca dari Kuala Muda ini.


Nasi Goreng Udang Tsunami
Nasi Goreng Udang Tsunami
Ketika penulis mengunjungi Kuala Muda yang juga tidak jauh dari Pantai Merdeka yang selalu disebut-sebut dalam lirik lagu kumpulan Tropika iaitu Cinta Pantai Merdeka, ketika ini Kedah dan bahagian utara semenanjung Malaysia sedang mengalami banjir. Petak-petak sawah di Kuala Muda sudah tidak seperti 'Jelapang Padi' yang digambarkan dengan kehijauan pokok padi yang memenuhi petak sawah, tetapi genangan air banjir yang memenuhi petak sawah yang nun jauh disana.


Memandangkan Kuala Muda, Kedah adalah betul-betul kawasan dipinggir pantai. Penulis cuba untuk mencari sebuah kedai makan atau restoran yang boleh dijadikan satu kedai yang mungkin boleh dicadangkan untuk mereka yang ingin ke Kuala Muda. Tahun 2004 adalah tahun sedih buah penduduk Kuala Muda Kedah. Penulis yang ketika itu sedang belajar di Kolej Mara Kulim juga turut terkesan dengan satu bencana yang mengorbankan ribuan manusia. Tsunami 2004.

Di semenanjung Malaysia, sekitar Pantai Kuala Muda dan Pantai Merbuk adalah kawasan yang dilanda tsunami. Meskipun tidak seteruk Indonesia dan Thailand,namun peristiwa tersebut menjadi kenangan kepada penduduk sekitar Kuala Muda Kedah. Cerita cari kedai makan kali ini berkisar dengan kenangan pahit tsunami 2004 kerana kedai makan yang dicuba penulis kali ini adalah dekat sahaja dengan satu memorial peringatan tsunami iaitu sebuah monumen kapal dan perahu yang dalam keadaan (bagaimana nak gambarkan)..dalam keadaan bertimbun dan bertindan-tindan seumpama baharu sahaja dipukul ombak besar yang dipanggil tsunami.

Lokasi 

Kedai makan ini tidak jauh dari memorial ini hanya lebih kurang 100 meter dari memorial tsunami Kuala Muda.

Jika anda meneruskan perjalan sepanjang jalan ini, mungkin anda akan bertemu dengan satu kawasan pendaratan ikan dari laut dengan gelaran 'pangkalan bisik-bisik'. Disitu pembeli/pemborong ikan perlu membisikkan harga kepada nelayan yang baru membawa hasil laut ke pangkalan sebagai 'trademark' nelayan - pembeli disitu untuk tawar menawar harga. Penulis tidak berkesempatan ke situ, mungkin lain kali akan cuba dapatkan ikan, udang, sotong dan hasil laut lain sambil berbisik, nak lagi ada lawaknya boleh lah juga bisikkan perkataan 'yusofff taiyooob'.

Itu salah satu kelebihan Kuala Muda. Kuala biasanya adalah tempat biasa untuk mendapatkan hasil laut yang segar, terbaik dari laut.

Nasi Goreng Udang

Salah satu hasil laut yang ada di Kuala Muda adalah udang. Pelbagai masakan kalau diletakkan udang memang terbaik. Udang Kuala Muda adalah antara udang terkenal dengan saiznya yang cukup besar. Penulis berpeluang menikmati nasi goreng udang yang menjadi hidangan special di kedai ini.


Nasi Goreng Kicap Lauk Udang Segar
Nasi Goreng Kicap Lauk Udang Segar
Nasi goreng kicap dengan kapasiti semangkuk kecil dihidangkan bersama tiga ekor udang yang bersaiz sederhana dalam satu pinggan, berserta sup kosong.

Nasi gorengnya hanya biasa sahaja namun udangnya yang digoreng dan dibelah bahagian atasnya menampakkan isi udang yang begitu putih melepak seumpama mekap ajis satar dalam filem seniman bujang lapuk. Ditemani dengan neslo ais sebagai pelincir untuk 'bolus' makanan melalui esofagus sebelum sampai ke tangki perut.

Keputihan isi udang membuktikan bahawa udang yang dihidangkan adalah yang betul-betul baharu naik ke darat memandangkan pemilik kedai ini merupakan salah seorang 'pak cik' yang selalu mendapatkan hasil laut di Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda dengan cara bisikkan.

Pak cik tersebut ada bertanya ' kalau hangpa nak cuba bisik kat pasar sana boleh pak cik tolong' antara ayat cubaan pemilik kedai untuk beramah mesra bersama pelanggan.

Nasi goreng kicap dengan daun salad berlaukkan tiga ekor udang bersaiz sederhana dengan harga RM14/sepinggan boleh dikatakan cukup berpatutan. Bukan selalu dapat merasa udang yang bersaiz dua jari lelaki 30-an yang tidak obes sampai ditiup bayu darat di pantai Kuala Muda.

Meskipun nasi goreng udang disediakan di kedai makan yang bersebelahan komuniti bestari dan beberapa meter dari galeri tsunami Kuala Muda, kedai ini dinamakan dengan Kedai Makan Ikan Semilang.

Waktu operasi adalah seperti kedai-kedai tom yam lain iaitu dari lewat petang sehingga lewat malam. Pengunjung boleh menikmati makanan yang dipinta seperti makanan berasaskan makanan laut atau makanan panas biasa di dalam kedai yang memiliki televisyen atau merasai makan dibawah pohonan rhu dengan bunyi lembut hasil dari pertembungan dedauan rhu dengan angin dari laut/darat.


Kedai Dekat Dengan Monumen Sampan Tsunami (Anak Panah)
Kedai Dekat Dengan Monumen Sampan Tsunami (Anak Panah)
Sejujurnya, dari jika inginkan makan nasi goreng udang ditepi pantai disini bukanlah tempatnya, memandangkan permandangan pantainya yang terlindung dengan puing-puing batu. Bukanlah kedai nasi goreng udang yang terbaik namun jika sudah datang membeli ikan dan hasil laut di Pasar Bisik Kuala Muda, inilah kedai makan terdekat.

Jika inginkan suasana lebih pada suasana laut. Sekitar Pulau Sayak banyak kedai makan berasaskan makanan laut seperti mee udang dan sebagainya.



Terlanjur datang melawat galeri tsunami dan memorial tsunami Kuala Muda. Apa salahnya mencuba nasi goreng udang di Kedai Makan Ikan Semilang, Kuala Muda Kedah.

Anda fikir anda tahu Makan Nasi Goreng Udang Dekat Sampan Tsunami 2004 Kuala Muda Kedah ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.