Header Ads

Restoran Sempadan Maggie Ketam Power Jalan Kebun Masak Di Klang Makan Di Banting


"Maggie Ketam"

Kerancakan tumbuhnya kedai-kedai makan atau restoran di sekitar Jalan Kebun Shah Alam sama rancaknya dengan getaran 'piling' oleh pemaju perumahan kawasan tersebut. Dahulu hanya terkenal dengan hutan belantara dan ladang-ladang kelapa sawit. Kini Jalan kebun mula berubah menjadi sebuah kawasan residen pilihan.

Setelah dihalau semua jenis haiwan yang pernah mendiami kawasan ini, cerucuk dan batu bata mula menghiasi hutan belantara ini yang kian berubah menjadi belantara perumahan.

Hanya beberapa meter dari pintu masuk kawasan kediaman bersepadu rimbayu, melalui pintu masuk kawasan motorcross yang baharu dibina, muncul sebuah restoren yang menjadikan ketam sebagai 'main course' hidangan mereka.




Meggi ketam Restoran Sempadan Jalan Kebun memulakan perniagaan mereka betul-betul segaris dengan 'signboard' persempadanan antara Klang dan Banting. Jika dapurnya di bahagian Klang, mungkin ruang makannya disebelah Banting.
Boleh dikatakan bahawa, masak di Klang makan di Banting.


Banting dengarnya agak jauh, namun kawasan restoran ini bukan sampai menuju ke morib tetapi sekadar dipinggiran Banting, kawasan Telok Panglima Garang, sebelum melalui selekoh menuju jalan yang penuh dengan nama burung-burung.




Megi ketam merupakan hidangan istimewa restoran ini. Apa yang membezakan setiap megi ketam adalah kuahnya. Bagi hidangan di restoran ini, rasa kuahnya cukup lemak manis, rasa manis dari air rebusan ketam itu sendiri yang  menambahkan rasa pada kuah karinya.

Bagi penulis, rasa kuahnya seakan-akan anda makan kuah masakan ibu anda, senang cerita masakan dirumah. Meskipun tidak sepekat kuah mee kari, namun rasa ketam masih terpelihara, manis bukan sekadar gula.




Dengan menawarkan dua pakej megi ketam, sederhan dan besar. Bagi megi ketam yang sederhana mereka meletakkan harga RM10 semangkuk dan untuk pakej besar anda perlu menambah Rm5 untuk menikmati ketam bersaiz lebih besar sedikit iaitu RM15. Menurut facebook pemilik restoran ini saiz ketam yang digunakan mereka sama saiznya dengan ketam dari restoran lain yang mungkin mencecah RM49.99.

Bagi penggemar ketam dan nasi atau secara ala carte, mereka turut menyediakan hidangan lain, masakan panas yang biasa dan mungkin jika anda ingin menjamu keluarga dengan hidangan ketam selain dengan megi anda boleh melakukan hal sedemikian.




Sesuatu yang boleh dipuji mengenai restoran ini adalah kawasan sanitarinya iaitu tandas. Mungkin kerana masih baharu, tandas cukup bersih dan cukup banyak menjadikan kedai makan ini sesuai bagi mereka yang datang dalam bilangan yang ramai.

Turut disediakan beberapa permainan kanak-kanak dihadapan kedai bagi mengelakkan rasa kebosanan pada kanak-kanak ketika orang tua mereka sibuk megepit ketam-ketam yang sedang dinikmati.





Waze untuk mendapatkan lokasi megi ketam power Restoran Sempadan




Anda fikir anda tahu Restoran Sempadan Maggie Ketam Power Jalan Kebun Masak Di Klang Makan Di Banting ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.