Benarkah Piring Astro Menghadap Kiblat (Ka'abah) di Mekah ?

Bagi masyarakat yang memiliki rangkaian siaran berbayar Astro dan anda beragama Islam anda akan mendapati bahawa terdapat suatu persamaan antara arah tikar sejadah anda dengan piring astro yang di pasang.



Namun, persoalannya adakah piring astro benar-benar dihadapkan mengikut arah kiblat, arah mekah, panduan arah sembahyang orang Islam ?

Perihal ini telah banyak dibincangkan di blog-blog falak, agama dan beberapa blog copy paste blog orang lain. Namun sebagai pengesahan mari kita lakukan beberapa eksperimen melalui bantuan beberapa aplikasi online dalam menghubung kaitkan arah kiblat dan arah piring astro.


Supaya kita dapat jadikan sumber rujukan apabila neuron-neuron dan sinaps berhubung seperti rancangan Brain Games di Channel National Geographic.

Ketahui Di Mana Kaabah, Mekah

Di negara kita Malaysia, arahnya adalah pada sekitar bering N 67 W hingga N 70 W, atau azimut 290° hingga 293°. Jika menggunakan kompas dengan penunjuk yang ringkas, ke kanan (Utara) sedikit dari arah Barat sekitar 20°.

Kita gunakan Kota Kemuning,Shah Alam, Selangor sebagai contoh:

Bagi lebih ketepatan kita gunakan aplikasi yang disediakan oleh Unisza, Terengganu, pada sesawang Kalkulator Falak dari Unisza




Ketahui Di Mana Arah Piring Astro Di Hala

Astro merupakan rangkaian televisyen satelit yang dimiliki oleh MEASAT Broadcast Network System dengan nama syarikat Astro All Asia Network PLC. Maka sedar tidak sedar kita mengetahui bahawa MEASAT adalah nama satelit.

Dengan berpandukan aplikasi online dishpointer.com, maka kita akan dapat mengetahui ke arah mana piring satelit astro ditujukan. Semestinya ke arah satelit MEASAT (MEASAT 3A|MEASAT 3). Oleh itu mari dapatkan azimut atau arah satelit yang sedang mengorbit pada bumi berada dari Kota Kemuning Shah Alam.



Kesimpulan

Apabila kita melihat arah azimut Shah Alam ke Mekah (Ka'abah) maka azimut (bearing) adalah 292° 34' 38". Dengan kata lain mengikut kompas yang telah di talakan anak panah utaranya, untuk Shah Alam, kiblat adalah 292°~ 293° pada kompas.

Mari bandingkan dengan kedudukan piring satelit terhadap satelit MEASAT 3, berpandukan gambar rajah maka dapat diketahui bahawa piring astro disengetkan mengikut kompas ke arah 253.6°~254.1°.

Data ini menunjukkan bahawa terdapat beza antara dua bearing/heading pada kompas sebanyak 38.4°~ 38.9°. Arah sama cuma ketepatan berbeza.

Menentukan Arah Kiblat

Cara yang terbaik untuk mengetahui arah kiblat sebenar adalah ketika matahari tepat berada di atas ka'abah itu sendiri yang akan berlaku setiap tahun pada 27 Mei dan 16 Julai yang dikenali sebagai fenomena Istiwa A'zam.




Rujukan :

Penentuan Arah Kiblat (Mekah ) : Kalkulator Falak Unisza
Penetuan Kedudukan satelit MEASAT 3 : Dishpointer.com

Anda fikir anda tahu Benarkah Piring Astro Menghadap Kiblat (Ka'abah) di Mekah ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum...


Catat Ulasan

0 Ulasan