Header Ads

Makan Masak Lemak Daging Salai dan Asam Pedas Tenggiri Di Warung Salai & COD Port Dickson


"Warung Salai PD"

Cuti umum kalau duduk melepak sahaja di rumah boleh tahan bosannya juga. Nak balik ke kampung agak jauh, apa kata kali ni cuba bercuti di kawasan dekat-dekat sahaja. Di mana dekat-dekat tu ? Port Dickson pun boleh.


Masak Lemak Asam Pedas PD
Masak Lemak Asam Pedas PD
Permulaan jurnal aktiviti percutian kali ini penulis ingin berkongsi rasa dan suasana di satu kedai makan kawasan Port Dickson ini.


Signature Dish Negeri Sembilan

Memandangkan datang ke tempat orang, ada afdalnya untuk makan tengahari penulis dan isteri mencuba makanan masakan 'signature dish' tempatan. Apa lagi 'signature dish' orang nogori kalau bukan masak lemak salai.

Oleh kerana, penulis datang dari arah pekan Lukut dari Banting, dalam pada masa yang sama sampai dalam waktu makan tengah hari. Terdapat satu kedai yang agak popular juga dengan hidangan masak lemak salainya iaitu Warung Salai & COD Port Dickson.


Warung Salai COD PD
Warung Salai COD PD
Setelah berjaya mendapatkan parkir kereta betul-betul di hadapan kedai ini penulis terus masuk ke dalam kedai yang terletak dalam deretan rumah kedai. Meja makan juga ada diletakkan di bahagian luar kedai iaitu di atas jalan tar memberikan pandangan pertama penulis akan kedai ini ramai pengunjungnya.

Sapaan Unik

Mula-mula anda menjejakkan kaki ke dalam kedai makan ini, bagi mereka yang ada lemah semangat jangan melatah atau terkejut kerana anda akan disapa oleh pekerja atau pemilik kedai dengan laungan selamat datang. Itu salah satu uniknya warung salai ini.

Lagu Nismilan Berkumandang

Suasana dalaman cukup tenang dengan warna tema dindingnya dan meja kayu seakan warna kuning kuah masak lemak. Dari sini sudah boleh diketahui apakah hidangan istimewa mereka, ditambah pula dengan iringan 'ke jelobak ke jelobu tuai padi tigo tangkai', ya, lagu nyanyian waghih berkumandang segenap ruang makan.


Suasana 'Masak Lemak' Dalaman Kedai
Anda tutup mata, anda memamng akan yakin bahawa anda memang sampai di kedai yang betul untuk mencuba masak lomak nogori sembilan, nismilan. Walau berada dalam rumah kedai, akan tetapi hawa di dalamnya tidak panas, mungkin angin pantai masih boleh sampai ke sini.

Apa yang Ada Dalam Menu ?


Menu Hidangan
Dari senarai hidangan pada menu, penulis dan isteri memesan dua hidangan yang turut menghiasi dinding kedai makan ini dalam bentuk lukisan, iaitu daging salai masak lemak dan asam pedas ikan tenggiri berserta dua pinggan nasi putih. Air neslo ais dan limau ais sebagai pelincir makanan menuju ke esofagus (salur ke perut).

Rasa Daging Salai Masak Lemak

Sebelum ini penulis dan isteri pernah mencuba masak lemak daging salai di Kuala Linggi. Jadi penulis akan jadikan masak lemak di sana sebagai perbandingan. Warna masih sama dengan kebanyakkan masak lemak nismilan. Rasa lemak ada, tidak begitu cair dan tidak begitu melekat. Mungkin ada sedikit kelainan rasa pada masak lemak di kedai ini.


Daging Salai Masak Lemak
Rasa santan yang asli membangkitkan rasa lemaknya. Pedas cili api akan datang selepas berlalunya rasa lemak tersebut dan diakhirannya akan ada rasa lain mungkin datangnya dari serai atau halia. Seumpama makan satu hidangan namun semuanya memerlukan tiga fasa lain dari segi rasa. Setakat ini, ini masakan lemak yang agak unik penulis rasai.

Daging salai cukup lembut dan empuk tidak memerlukan kunyahan yang menyamai bilangan kunyahan pada gula-gula getah. Sedan-sedan teksturnya, tidak hancur dan tidak kenyal. Bau asap masih ada meskipun terendam di dalam kuah kuning lemak. Masih nampak terdapat tompokan-tompokan hitam salai pada hirisan daging.

Rasa Asam Pedas Ikan Tenggiri

Asam pedas ikan tenggiri pula boleh dikatakan biasa sahaja. Ada masam dan ada pedas. Kuah yang agak cair sesuai dijadikan hirupan seperti sup.


Asam Pedas Ikan Tenggiri
Isi ikan tenggiri yang lembut dan hancur terus apabila dikemam di dalam mulut bersama nasi. Dalam kuah asam pedasnya terasa aroma dan rasa daun limau purut yang agak kuat. Masih boleh tahan, ada rasa masam dan pedas. Cukup syarat untuk masakan asam pedas. Bukan yang terbaik yang penulis temui.

Portion Hidangan

Portion bagi semangkuk hidangan daging salai masak lemak yang diletakkan di dalam kuali kecil dengan tapaknya raga cukup untuk dua orang makan. Perkadaran dengan portion nasi, anda masih boleh meratah daging salai yang masih ada.

Portion bagi hidangan asam pedas ikan tenggiri untuk satu hidangan adalah sepotong bahagian badan ikan dan masih mencukupi untuk dua orang makan secara maksimanya. Namun, sekadar cukup untuk nasi yang diberikan, mungkin tidak sesuai jika dipesan nasi tambah.

Harga Hidangan


Harga Masak Lemak Asam Pedas
Harga Masak Lemak Asam Pedas
Harga untuk  masak lemak daging salai: RM8.50/mangkuk
Harga untuk asam pedas ikan tenggiri: RM9.00/mangkuk

Masakan Salai Lain

Bagi yang ingin mencuba masakan negeri sembilan warung salai di Port Dickson ini boleh dicuba.Selain daging salai, daging rusa atau tetel daging turut ada di dalam senarai menu hidangan. Apa-apa sahaja lauk yang anda inginkan dan dimasak dalam hidangan masak lemak atau asam pedas.

Bagi mereka yang gemarkan pedas boleh mencubanya disini, tidaklah begitu pedas namun ia masih dalam kategori pedas.

Suasana dalam kedai sungguh tenang dan begitu ke'negeri sembilan'an, sesuai untuk memulakan percutian di Port Dickson untuk alas perut.

Informasi Pengunjung

Terletak di pinggir Jalan Pantai dari pekan Lukut. Berdekatan dengan Langit-Langit Hotel.
Berada sebelah kiri jika datang dari arah Lukut. 

Alamat

Taman Mewah, 
71000 Port Dickson, 
Negeri Sembilan


Sebagai 'landmark' jika waze atau data plan habis, sebelum stesen petronas port dickson 2.


Waze Lokasi Warung Salai PD
Waktu Operasi Warung COD Salai

Restoran  dibuka setiap hari kecuali hari Isnin dan akan mula beroperasi pada jam 8.30 pagi sehingga 7.00 malam

Tempat parkir mungkin terhad jika ramai pengunjung kerana parkir disediakan adalah parkir untuk rumah kedai.

Parkir kenderaan

Cukup teduh kawasan parkir dengan rimbunan pokok yang besar. Sempit jalan dihadapan kedai memandangkan jalan yang mungkin dikhaskan untuk sehala sahaja.

Anda fikir anda tahu Makan Masak Lemak Daging Salai dan Asam Pedas Tenggiri Di Warung Salai & COD Port Dickson ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.