Biodata & Biografi Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat





Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 10 Januari 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.



Biodata Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah
keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung
Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja
Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali
dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif
dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam
mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan
pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil
beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar
dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya
Hajah Aminah Majid.


Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan
Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih,
Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun
sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat
seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru
dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang
dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur
Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang
tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di
Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai
kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan
murid-murid yang lebih tua.
Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-
Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke
Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul
Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.
Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan
guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad
Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang
kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa
penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang
Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-
Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan
pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga
mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan
perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma
pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf
yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah
Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi
beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah,
Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan
penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di
Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau
menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir
(sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk
bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan
Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.
Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat
hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih
tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan
kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah
bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta
tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.
Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya
Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan
mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had
Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu
‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud
sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan
Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan
sembahyang jemaah dan dakwah.
Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau
telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu
lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan
memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau
mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan
merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke
Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat
sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok
bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti
keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada
orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak
pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar
dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau
mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan
pekerjaan para Anbia’.
Penghargaan :

 Penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia
Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat
Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran
Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan
Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung
Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30
tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik
Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik
Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan
kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang
menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah
almari yang penuh dengan kitab agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan
begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas
keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain
sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen:
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986
dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan
Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah
terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa
selama tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai
idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya
di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa
dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru
Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan
dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.
Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua
pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan
menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji
Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap
pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS
yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri
Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan
berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti
ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.

anda fikir anda tahu Biodata & Biografi Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat ?
anda fikir sekali lagi...

assalamualaikum..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...