Header Ads

Senarai Kuih Muih Unik Di Pasar Ramadhan Muncul Apabila Bulan Ramdhan Tiba


"Kuih buka Puasa"

Ramadhan menjelang tiba. Di Malaysia sambutan ramadhan cukup meriah meskipun lari dari definisi asal berpuasa sebagai tanda 'salidarity' dengan warga kurang berada yang berlapar selain sebagai pengorbanan menguatkan iman pada Allah.

Selain dari keriuhan di kedai-kedai kain dan langsir, gerai-gerai makan dan pasar ramadhan atau param antara tempat kerumunan orang ramai apabila tibanya bulan puasa.

Selain dari makanan biasa yang ditemui seperti nasi ayam, nasi tomato, nasi beriani dan bermacam hidangan lain seumpama mee goreng dan mee sup terdapat satu keunikan bulan puasa yang jarang berlaku pada 11 bulan sebelumnya, kuih-muih. Kepelbagaian etnik dan kaum di Malaysia menambahkan lagi variasi jenis kuih muih yang terdapat di setiap bazar ramadhan (baram) yang mula tumbuh apabila menjelang waktu berbuka.


Kuih Muih Puasa Akok


Paling popular adalah kuih muih dari pantai timur, Kelantan dan Terengganu khasnya dengan pelbagai bentuk, rasa dan nama. Kemanisan kuih muih yang berasal dari pantai timur menjadi hidangan 'dessert' terbaik selepas menjamu hidangan berat ketika berbuka.


Ramai yang kurang kenal akan kuih muih, tunjuk sahaja, "mak cik, nak kuih tu". Apasalahnya kita kenal akan namanya sebagaimana situasi ini, "Mak cik, bagi kuih lompat tikam tu dua bungkus". Kan sedap ayat sebegitu. Selain kuih, beberapa makanan 'side dish' amat jarang ditemui pada hari biasa meskipun di pasar malam.
Jarang, bukan tiada.

Pelbagai jenis kuih yang pelik,hidangan 'side dish' yang unik tetapi yang menjadi 'trend' ketika bulan puasa adalah seperti di bawah untuk dicuba.

1. Akok 'akok kedut'

Namanya agak unik, tidak diketahui maknanya dari perkataan 'akak' atau bahasa siam. Merupakan kuih yang begitu sinonim dengan kelantan. Berlemak, manis, dan tekstur lembut memang merupakan identiti makanan orang Kelantan dan Siam.

Adunan tepung dan dipukul dengan telur merupakan cara asas pembuatannya selain dari dibakar menggunakan cara tradisional dengan bahan bakarnya sabut kelapa. Cara pembuatan menyamai cara pembuatan bahulu dan rasanya menghampiri rasa kuih bingka namun, akok memang lain dari yang lain jika ia dibuat oleh pakarnya.

Akok diklasifikasikan kesedapannya melalui 'kedutan' padanya. Semakin berkedut semakin sedap, lemak dan 'wow',telur adalah puncanya. inilah hidangan pencuci mulut yang jarang tiada di atas pinggan/mangkuk ketika berbuka puasa. Harganya berkadar terus dengan masa jika tahun sebelumnyanya adalah 4 keping/RM1 mungkin tahun seterusnya menjadi 3 keping/RM1.

2. Onde-Onde

Kuih ini turut menggunakan nama, kuih buah melaka bagi masyarakat luar pantai timur. Pernah dalam ceramah Ustaz Azhar Idrus menyebut akan kuih ini, namun bukan disebut onde-onde atau buah melaka, tetapi sebagai nama kuih 'kekoh char'.

Bentuk bulat dan agak 'berbulu', rasa tawar lemak dipermulakan dan apabila isinya pecah kemanisan gula melaka akan dinikmati segenap lapisan lidah. Berbulu kerana digolekkan dengan kelapa parut yang sudah di renjis garam menghadirkan pelbagai rasa. Kemanisan gula melaka adalah 'trademark'nya.


onde onde buah melaka

'Tubuh'nya yang hijau dibuat menggunakan tepung tertentu menjadikannya agak melekit dan liat supaya dapat bergaul mesra dengan kelapa parut. Amat sesuai bagi pencinta kuih tetapi versi mencabar kerana anda mungkin gagal menemui sebarang isi apabila ekonomi merudum. Jika dahulu harganya dikira dengan biji, kini buah melaka sudah dimasukkan ke dalam plastik mungkin mencecah RM3/seplastik.

3. Kuih Lompat Tikam

Namanya sahaja sudah cukup menggerunkan, mungkin jika anda seorang yang lurus bendul ketika proses pembelian ini akan melibatkan jabatan siasatan jenayah untuk dihubungi.

Kuah santan, kuah gula melaka menjadi saksi 'pembunuhan' kejam ini. Semuanya berlaku di dalam mangkuk apabila kuih lompat tikam ini disatukan. Tepung beras dan tepung jagung yang sudah dibentuk ditambah dengan warna hijau daun pandan menambahkan lagi 'thrill'nya.

Dengan kehadiran pulut bewarna merah, suasan menjadi tegang.Namun, kesemua adunan ini cukup akrab disatukan dengan rasa lemak dari tepung, keliatan pulut, digaul dengan santan dan gula melaka, mulut anda memang memerlukan aksi 'pembunuhan' seperti ini. Hadir dalam plastik, harga sekitar RM3-RM4.

4. Kuih Butir Nangka

Berasal dari Kelantan, mungkin bawaan orang dari selatan Thai. Manis merupakan satu sifat kuih muih dari Kelantan.

Sedikit pun tiada kena mengena dengan nangka, dari hujung akar hingga hujung daun, tiada 'prospek' nangka ditemui. Dikenali sebagai butir (biji) nangka kerana bentuknya seakan biji nangka.

Biji-biji ini hasil gentelan tepung beras yang dibentuk seakan biji nangka, dicampur dengan warna daun pandan sebelum direbus. Melengkapi biji nangka adalah kuahnya, berasakan santan yang berlemak dijadikan kuah setelah dicampur beberapa bahan.

Agak liat bagi mereka yang tiada gigi asal, mudah melekat pada gigi. Kebanyakan warga emas di kampung makan sekali telan sahaja. Sukar ditemui ketika bukan musimnya.

5. Kuih Puteri Mandi

Kadang-kadang dipanggil badak berendam. Kita gunakan yang agak seksi sedikit, puteri mandi. Jangan khuatir atau bimbang, tiada penyalahgunaan kaum wanita berlaku ketika pemprosesan kuih ini.

Konsep kuih ini sama sahaja dengan kuih butir nangka. Dua-dua menggunakan konsep rendam dalam kuah. Berlainan dari aspek persembahan, mungkin 'puteri' bewarna-warni tetapi rasanya cuku digemari.

6. Nekbat

Kuih yang menghampiri hashtag 'rare'. Jarang ditemui meskipun musim puasa. Kebiasaan kuih yang berasaskan air gula ini akan menjadi hidangan ketika moreh, selepas berterawih.

Sekali imbas seperti bahulu yang dicelup di dalam air gula, sira namun pembuatannya ada cara tersendiri. Telur, sebagaimana akok telur memainkan peranan yang tinggi dalam hidangan ini. Tidak berlemak dan manis bukan makanan dari Terengganu atau Kelantan, salah satunya nekbat.

Air sira yang turut direndam dengan daun pandan menambahkan lagi aroma untuk menarik perhatian penggemarnya.

7. Sagumpal

Kombinasi dua perkataan 'sagu' dan 'gumpal'. Turut menjelaskan perwatakan kuih ini. Sagu yang digumpal. Cukup popular di pantai timur.

Cara memakannya tidak jauh dari puteri mandi dan butir nangka. Sagu yang telah digumpal, direndam di dalam kuah berasaskan santan. Lemak berkrim disukai ramai.  Selain dibuat kuih bersendirian, sagu memang meletop apabila bergabung dengan kuah santan. Tawar sagu diseimbangkan dengan rasa santan dalam kuahnya. Jika anda bertuah ada sestengah pembuat sagumpal akan meletak inti kacang di dalamnya.
Tanpa inti pun sudah mencukupi.

8. Cek Mek

Usah bercerita tentang kuih muih unik jika anda tidak kenal akan kuih cek mek. Ubi keledek atau di negeri pantai timur dipanggil 'ubi stand law' merupakan bahan utama pembuatan.

Konsep 'curry puff', sarung diluar, inti di dalam. Inti yang biasa digunakan adalah air gula. Ubi keledek yang sudah diramas bersama tepung gandum digentel dalam bentuk keropok lekor akan dimasukkan air gula sebelum digoreng.

Keranggupan ubi keledek digoreng dan lelehan air gula, betapa erotiknya kuih ini. Namanya sahaja mungkin menggetarkan jiwa, cek mek, ahai cek mek molek.

9. Kuih Buah Tanjung

Satu lagi kuih yang tiada kena mengena dengan nama. Tiada ditemui walau sebesar zarah buah tanjung dalam kuih ini. Bentuk menjadikan nama kuih ini dinamakan sebegitu.

Sebagaimana kuih butir nangka, tetapi cara pemakanannya tidak menggunakan kuah. Kuning telur yang banyak sudah memberikan rasa dengan campuran perasa yang lain. Digentel-gentel sehingga membentuk bentuk buah tanjung original, boleh dimakan begitu sahaja.

Jika ada di pasar-pasar, terlihat akan sesuatu yang berbiji-biji di dalam plastik bewarna kuning atau oren, itulah kuih buah tanjung.

10. Tepung Boko

Cukup unik, sukar dijumpai, cukup menarik. Menyamai status seekor badak sumbu sumatra yang kian pupus, hanya boleh dijumpai di pasar sekitar Kelantan.

Boko itu sendiri merupakan 'talam' dalam bahasa Kelantan. Tepung beras yang dibuat menggunakan talam sebagai media penyediaan. Bukan kuih talam (kuih talam versi lembik), boko disediakan dengan melayur tepung dan rakan-rakannya  di atas api ketika berada di dalam boko.

Agak seiras dengan tepung pelita tapi pembuatannya berlainan meskipun mempunyai inti tertentu sebagaimana tepung pelita. Tepung boko asli menggunakan ubi kayu sebagai bahan utama.

11. Tepung Pelita

Bukan unik lagi kerana sudah popular di seantero pasar ramadhan. Boleh diperhatikan semua kedai kuih muih di bazar ada menjual kuih yang memiliki nama pelik kerana tiada minyak gas atau minyak tanah diperlukan bersama-sama untuk menikmatinya. Tepung yang separa pepejal di atas dan adunan berkrim di bahagian bawah sebagai perasa.

Bagi mendapatkan rasa yang seimbang makan kedua bahagian, kerana atasnya agak tawar berlemak dan bawah agak manis. Bahagian bawah yang memiliki warna tertentu, hijau biasanya, melambangkan minyak tanah pada pelita.

Ini merupakan sebahagian dari pelbagai jenis kuih muih pelik dan unik namun melekat dihati tidak cerita pasal laksam dan pelbagai jenis kerabu sudah cukup membuka anak tekak untuk mencuba. Orang tua dulu-dulu memang cukup arif mencipta variasi rasa. Kuah melengkapkan baha utama, tidak melebih atau terlalu kurang. Penggunaan bahan-bahan yang sedia ada disekitar tidak mengandungi pelbagai bahan awet contohnya untuk pewarna daun pandan digunakan, petik sahaja di belakang rumah.

Kreativiti yang tulen itu yang menjadikan sesuatu benda berkualiti sehingga dianggap legend. Nama unik, bahan unik, dan penyediaan yang unik menjadikan kuih tersebut masih boleh diingati meskipun sekali mencuba meskipun tidak semegah kuih zaman sekarang muffin, brownies, cookies, crepe dan pelbagai lagi. 

[Lihat juga] : Lauk Sampingan Untuk Berbuka Puasa

Namun berapa kerat kuih muih tradisional ini akan ditemui ketika bulan puasa dengan kehadiran kuih muih lain yang bukan berasal dari tanah Malaysia, mungkin perlu diwartakan kuih muih ingin supaya tidak hilang seperti hilangnya penyanyi lagu 'somebody that i used to know'.


Anda fikir anda tahu Senarai Kuih Muih Unik Di Pasar Ramadhan Muncul Apabila Bulan Ramdhan Tiba ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.