Header Ads

Asam Pedas Ikan Kembung dan Pari Di Asam Pedas Simpang Ampat Melaka


"Asam Pedas Simpang Ampat"

Melaka memang popular dengan assam pedas. Memang retorik jika melancong atau berkunjung ke Melaka.




Sampai waktu makan tengah hari pasti akan tertanya. Mana kedai asam pedas terdekat sekitar Melaka ?


Mungkin bangun sahaja tidur sudah mencari-cari asam pedas untuk di cuba. Menu asam pedas boleh dikatakan antara salah satu masakan yang agak istimewa kerana bukan semua kedai makan menyediakan asam pedas.

Apa yang menarik mengenai asam pedas adalah kuah yang pedas dan memiliki rasa masam. Apalagi dengan bahan lauk seperti ikan kembung, ikan pari atau daging serta ayam yang terendam di dalam kuah masam dan pedas ini.

Aplikasi Bunga Kantan dan Daun Kesum

Dengan aroma bunga kantan yang mungkin masih ada saki baki dalam kuahnya dengan tambahan perisa daun kesum antara bahan asas untuk mendapatkan masakan kuah yang dinamakan dengan asam pedas ini.

Tomato dan kacang bendi sebagai penambah seri untuk asam pedas.

Sudah banyak menu asam pedas yang penulis cuba, tidak kira dalam Melaka dan luar Melaka.

Kali ini penulis membuat cubaan makan tengah hari dengan asam pedas di bumi Melaka sekitar Simpang Ampat.

Alang-alang sudah tengah hari, dan isteri penulis berhajat untuk singgah di Freeport Melaka untuk shopping maka gigihlah pencarian tempat makan yang sesuai.

Dalam carian berjaya ditemui sebuah restoran yang berasaskan asam pedas. Restoran Asam Pedas Simpang Ampat.

Restoran Asam Pedas Di Simpang Ampat

Sebuah restoran yang beroperasi dalam deretan rumah kedai dan betul-betul di tepi jalan. Ketika penulis sampai bilangan pengunjung tidak begitu ramai walaupun sudah waktu makan tengah hari.

Dengan suasana dalaman kedai yang agak malap dan suasana luar yang agak sejuk memandangkan keadaan hujan renyai-renyai mula membasahi bumi Melaka keinginan untuk mencuba kuah asam pedas yang masih panas cukup membuak-buak.

Tanpa rasa segan silu penulis mendapatkan pesanan set asam pedas ikan kembung dan set asam pedas ikan pari untuk isteri penulis.

Semuanya berlaku setelah mendapatkan senarai menu dari pelanggan kedai yang agak tidak 'friendly'.

Cuba Set Asam Pedas Ikan Kembung dan Pari


Set Asam Pedas Simpang Ampat
Dengan cuaca yang sejuk dan hujan renyai-renyai masih berlangsung. Sampailah set asam pedas yang dipesan dengan bertemankan limau ais. Masih panas dan inilah yang diperlukan ketika hujan renyai, kalau tidak dapat sup, asam pedas pun alhamdulillah.

Set asam pedas ini terdiri daripada sepinggan kecil asam pedas dengan lauk tertentu (ikan kembung untuk penulis), sepinggan nasi putih, separuh telur masin dan satu senduk sayur taugeh yang digoreng kilas.

Rasa Kuah Asam Pedas

Hirupan pertama pada kuah asam pedas yang agak cair dan tidak begitu pekat. Panas dan pedas terasa terus di permukaan lidah.


Asam Pedas Ikan Kembung
Asam Pedas Ikan Kembung
Asam pedas ikan kembung yang dihidangkan dalam pinggan ini boleh tahan rasanya, namun tidaklah begitu istimewa. Saiz ikan sederhana dan masih segar serta lembut.
Boleh tahan rasanya dengan ikan kembung kombinasinya. Tambah pula masin telur asin.

Portion Lauk Asam Pedas


Asam Pedas Ikan Pari
Asam Pedas Ikan Pari
Isi ikan pari untuk set asam pedas ikan pari boleh dipuji, banyak isinya. Dengan tekstur lembut isi ikan pari bersam kuah asam pedas masih enak.

Kepedasan Asam Pedas Di Sini

Penulis gemarkan makanan pedas, samyang hot chicken dan maggi pedas giler memang menjadi stok bulanan. Dari segi pedas, asam pedas ini tidaklah sepedas mana.

Jika dilakukan cabaran kepedasan mungkin asam pedas ini kalah. Paling pedas setakat ini pernah penulis cuba untuk asam pedas adalah di Kuala Linggi sebelum ini, dalam claypot.

Ulasan Penulis

Masakan Boleh Tahan

Ini ulasan penulis, dari segi makanan boleh tahan. Lauk masih segar dan cukup portionya. Asam pedas Melaka masih terpelihara, dengan rasa dan bau daun kesum dan bunga kantan tetap ada.

Walaupun kurang pedas, asam pedas ini sesuai untuk pilihan lain penggemar asam pedas.

Staf Kurang 'Friendly'

Dari aspek hospitaliti penulis gagal memberikan ulasan dalam segi pujian. Staf yang ada ketika hari kedatangan penulis agak kurang 'friendly'. Datang mengambil pesanan seumpama terpaksa.

Gagal ditemui sebarang senyuman kepada pelanggan dan jawapan kepada pertanyaan pelanggan dijawab acuh tidak acuh. Mungkin kerana keadaan cuaca mendung dan redup renyai-renyai baharu sahaja lepas mendengar lagu koleksi DJ Lin, mungkin.

Melihatkan review di fans page facebook juga agak mendukacitakan, semoga boleh meningkatkan prestasi.

Bertemankan Lalat

Satu lagi aspek adalah, masalah lalat. Mungkin pengusaha boleh mencuba melakukan sesuatu dengan keadaan lalat. Penulis faham akan situasi mungkin sedang hujan dan lalat mungkin sedang berpesta.

Namun, mesti ada cara untuk menghindari perkara begini berulang. Agak mengganggu pelanggan untuk menikmati asam pedas, risau jika ada lalat yang melakukan kamikaze ke dalam pinggan.

Informasi Pengunjung

Lokasi

Cukup mudah untuk singgah, beberapa meter sahaja dari bulatan selepas exit PLUS Simpang Ampat. Jika dari exit tol dan bulatan dapatkan exit pertama dari bulatan dan tidak jauh kedai berada di sebelah kiri jalan.

Tn 6 Jalan BBSE 1 
Taman Bandar Baru 
Simpang Ampat 
78000
Melaka



Harga Makanan

Asam pedas mengikut lauk:

Asam pedas ikan kembung : RM8-RM9
Asam pedas ikan pari : RM9~

Datang dengan set nasi putih, telur masin dan sayur taugeh

Untuk hidangan penulis (sebagai contoh): set asam pedas ikan kembung, set asam pedas ikan pari dan limau ais = RM25

Waktu Operasi

Dibuka setiap hari kecuali hari isnin dan mula beroperasi pada jam 11 pagi dan ditutup pada jam 11 malam.

Parkir Kenderaan

Parkir rumah kedai dan agak terhad.

Anda fikir anda tahu Singgah Makan Asam Pedas Simpang Ampat Melaka ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.