Header Ads

Pekena Cendol Jagung Di PD Famous Cendol Coconut Shake RM2 Port Dickson


"PD Famous Cendol Coconut Shake"

Awek cendol viral pun sudah mula meracau-racau serupa disampuk roh jahat sotong kurita menyuruh teman lelakinya bawa ke gerai cendol lagi. Itu baharu sahaja cendol biasa, dia belum lagi lakukan 'road tour' melawat gerai-gerai dan restoran cendol seluruh Malaysia.


Pd Famous Cendol Coconut Shake RM2
Pd Famous Cendol Coconut Shake RM2
Kali ini penulis berpeluang, mencuba cendol yang boleh dikatakan agak popular di Port Dickson.


Sudah lama sebenarnya mengetahui akan kewujudan kedai yang sudah boleh dianggap sebagai restoran ini kerana kedudukan yang agak strategik sebelum sampai ke Pantai Teluk Kemang. Hujung minggu ? Boleh dikatakan ramai yang menjadi semanja 'awek cendol' kebanyakan pelanggan adalah mereka yang 'repeat' (ulang) kembali untuk menikmati cendol di sini.

Dengan dibinanya restoran yang merangkumi kawasan yang mampu dibina sebuah banglo bersaiz B itu cukup luas. Tambahan pula mudah untuk ditemui memandangkan berada betul-betul di tepi jalan pantai Port Dickson.

Kedai Makan Pelbagai Citarasa

Pelanggan restoran ini datang dalam pelbagai ragam, ada yang datang berkeluarga, carpool bersama rakan-rakan, geng-geng konvoi kereta dan termasuk guna geng konvoi bermotosikal. Tempat lepak menarik selain dapat menghilangkan dahaga, PD Famous Cendol.


Ruang Makan PD Cendol
Restoran ini bertemakan 'food court'. Cendol pelbagai variasi sebagai menu utama. Satu lagi menu yang perlu dicuba pengunjung yang datang adalah coconut shake, memandangkan pada 'signboard' kedai mereka satukan dengan perkataan cendol dalam satu ayat. Coconut shake 'power' umpama Robin kalau dalam filem Batman.

Lain-lain sajian turut disediakan, seperti nasi ayam, kambing bakar, kerang bakar, dan pelbagai jenis air. Mee bandung pun ada,tauhu sumbat, keropok lekor, apalagi kalau ada yang mengidam inginkan asam pedas, jangan kata tiada memang ada.

Tema Food Court Layan Diri

Dengan konsep food court layan diri dan carilah tempat duduk sendiri, pelanggan bebas memilih citarasa masing-masing. Makanan 'signature' Negeri Sembilan pun ada, masak lemak cili api salai.


Layanlah Diri Anda
Kali ini penulis memenuhi citarasa sendiri dengan mencuba cendol jagung, kambing bakar dan kerang rebus serta coconut shake biasa.

Penulis bukan peminta cendol sejujurnya, kerana pernah terkena satu cendol yang santannya terlalu pekat dan masam rasanya. Selera untuk cendol mula tersekat. Jika makan cendol pun, makan dalam versi orang Kelantan iaitu dengan air gula jika musim puasa ramadan.


Kali ini, penulis 'repeat' balik makan cendol. Cendol di PD Famous ini dikenali dengan nama cendol bakar, pada awalnya penulis pernah mendengar akan perkataan cendol bakar, pernah berkunjung ke Kuala Selangor membeli cendol bakar.


Dilarang Memotong Di Lorong Kecemasan
Dengan tema layan diri, pengunjung diperlukan untuk beratur memesan cendol sebelum beratur sekali lagi di barisan lain untuk bayaran dan pengambilan hidangan cendol. Tidak digalakkan memotong barisan kerana urutan ambilan serta bayaran bergantung kepada urutan semasa memesan.

Apa Itu Cendol Bakar ?

Mula-mula agak terkejut dengan perkataan 'bakar', terbayang di fikiran cendol, semangkuk cendol dibakar atau 'grill'. Gila ke ? Tak pernah di buat orang.

Inferens kedua penulis akan perkataan 'bakar' pada cendol ini adalah nama pemiliknya 'Bakar'. Sebenarnya dua inferens di atas salah sama sekali.

Bakar di sini merujuk kepada satu cara penyediaan, gula melaka (nisan dalam Kelantan) yang menjadi pemanis dalam kuah santan cendol ini sebelum dimasukkan ke dalam cendol bersantan, ia dibakar dahulu untuk mendapatkan aroma salai dan kelainan pada rasa.

Itu sebenarnya asal nama 'cendol bakar'. Patutnya 'cendol manisan bakar', sekadar mencadang.

Rasa Cendol Jagung PD Famous

Hirupan pertama penulis untuk cendol ini dengan rasa cukup tidak berapa yakin. Namun, kesejukan ais berjaya memujuk minda penulis terus menghirupnya.


Cendol Jagung PD Famous Cendol
Cendol Jagung PD Famous Cendol
Memang kena dengan keadaan cuaca jam 3 petang yang agak panas, cendol jagung ini memang menyejukkan hati dan fizikal. Santan tidak berapa pekat yang mampu menghasilkan rasa muak.

Hirisan-hirisan cendol yang kenyal separa lembu dan diberikan pula perisa manis gula melaka yang beraromakan salai. Apabila berjaya mengigit beberapa biji jagung menambahkan lagi perisa kemanisan dan kelainan.


Cendol vs Coconut Shake
Memang kena dengan selera penulis untuk semangkuk cendol, santan yang sedan-sedan lemaknya.

Cendol jagung ini berharga RM3 semangkuk. Mahal seringgit dari cendol biasa. Sama taraf harganya dengan cendol pulut yang juga RM 3 dan sangat murah berbanding cendol durian yang mengikut musim.

Coconut Shake PD Famous

Bagi coconut shake pula, seperti biasa dalam satu cawan terdapat air kelapa yang sudah di'blend' bersama susu berserta ais sekali.


Coconut Shake RM2/cup
Coconut Shake RM2/cup
Bagi mendapatkan nama float diletakkan ais krim di atasnya. Itu coconut di sini. Dari segi rasa boleh tahan sahaja, kerana penulis pernah merasai coconut shake mr burung yang agak lebih menarik rasanya.


Coconut Shake Power
Tapi berbaloilah untuk harga RM2 untuk menghilangkan dahaga dalam cuaca panas dan sebagai pengalir jika terlekat makanan di kerongkong sebelum sampai ke tangki perut.

Meratah Kambing Bakar Sos Lada Hitam

Hidangan seterusnya adalah kambing bakar. Penulis melayankan diri ke kaunter kambing bakar yang sedang berdesir hasil pertembungan jus dan sos dari perapan kambing dengan kuali pemanggang yang panas.


Lamb Grill PD Famous
Tanpa rasa curiga penulis memesan sepinggan kambing bakar kecil. Portion yang cukup-cukup untuk mencuba. Terdapat dua kategori yang ditawarkan kepada pelanggan kambing bakar. Besar dan kecil.

Disediakan di atas pinggan 'sizzling' bersaiz kecil. Rasa daging kambingnya agak biasa dan liat. Liat adalah musuh utama dalam penyediaan kambing bakar.


PD Famous Kambing Grill
Sekali liat, pandangan terhadap hidangan kambing bakar mula merencatkan selera seterusnya. Tambahan pula lebih tulang dari tetelan daging, mungkin ini portion untuk cuba-cuba sahaja.

Rasa Sos Lada Hitam

Faktor kedua dalam mendapatkan kepuasan dalam menikmati daging kambing bakar adalah sosnya. Disini sos lada hitamnya.

Cukup lazat dengan kepekatan yang mampu memberikan rasa kambing lebih terasa. Sosnya cukup sedap. Penulis terlupa sejenak akan keliatan daging kambingnya walaupun beberapa kali tergigit tulang kerana menyangkakan itu daging.

Satu hidangan kecil kambing bakar yang dihias dengan beberapa daun salad adalah RM 10/pinggan. Portion lebih besar pula berharga RM 18/pinggan.

Colek Kerang Rebus PD Famous

Kerang rebus yang berjaya dicuba penulis rasanya tidak jauh lain dari kerang rebus normal melainkan kerangnya tiada sebarang unsur jus didalamnya, lebih kepada ke arah kerang bakar.

Kering dan tiada aroma kerang yang ditunggu. Disediakan air pencicah berupa sos cair dengan bijian cili yang masih ada.

Kebebasan Pengunjung Memilih Citarasa

Dengan tema 'food court' dan layan diri. Satu kebebasan kepada pengunjung yang inginkan makanan ringan dan makanan lebih berat.


Order Cendol
Itu menjadikan PD Cendol Coconut Shake Famous ini satu tarikan kerana 'kebebasan memilih' ini. 
Dapat Cendol
Harganya juga boleh dikatakan agak berpatutan dengan harga cendol dan coconut shake hanya RM2. Melainkan makanan yang agak 'rare' dan jarang ditemui seperti cendol durian dengan seulas durian yang mungkin mencecah harga belasan ringgit semangkuk.

Secara keseluruhan, memang terbaik dengan harga untuk kawasan tarikan pengunjung ramai, Port Dickson.


Photo Booth Kenangan DIsediakan
Selesai memenuhkan tangki perut, penuhkan pula 'megabyte' telefon anda dengan luangkan masa bergambar di 'booth' bergambar yang telah disediakan.

*maaf untuk resolusi gambar yang tidak menyelerakan memandangkan diambil menggunakan action camera lens dengan SD card yang berkelajuan rendah.

Informasi Pengunjung

Jalan pantai menuju ke Pantai Teluk Kemang.
Melepasi beberapa lengkok, dan ternampak stesen petrol Petron, berhadapan dengan stesen minyak ini tersergam PD Cendol Coconut Shake Famous.

Alamat Kedai

PD Famous Cendol Coconut Shake Power RM2
Kampung Teluk Kemang,
71050 Port Dickson,
Negeri Sembilan 




  Gunakan aplikasi waze sebagaimana contoh di bawah:


Waze Lokasi PD Famous Cendol
Waktu Operasi PD Famous Cendol Coconut Shake

Dibuka setiap hari. Operasi restoran ini bermula pada jam 11 pagi sehingga 7 malam.

Awasi waktu puncak di kedai makan ini kebiasaannya adalah waktu makan tengah hari sekitar 11:30 pagi sehingga 2 petang. Apalagi jika musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Kawasan Parkir Kenderaan

Memandangkan restoran PD Famous Cendol Coconut Shake ini tersorok sedikit ke belakang dari jalan raya, terdapat kawasan parkir kenderaan yang cukup luas.


Mercu Tanda Kedai
Pengunjung ada juga yang parkir di tepian jalan raya jika berlakunya kesesakan di kawasan parkir bahagian dalam. Terdapat beberapa orang sukarelawan (anggota Rela) yang akan membantu anda dalam mencari kekosongan tapak parkir kenderaan anda.

Anda fikir anda tahu Pekena Cendol Jagung Di PD Famous Cendol Coconut Shake RM2 Port Dickson ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.