Cara Betul Biak Ikan Laga (Betta) Sendiri

 "Cara Biak Ikan Betta Sendiri"

Ikan betta atau ikan laga agak berlainan dengan jenis ikan hiasan lain cara membiakannya. Tidak seperti ikan gapi yang beranak secara terus atau mengandung (livebearer).

Cara Betul Biak Ikan Betta
Cara Betul Biak Ikan Betta

Ikan betta memiliki teknik dan cara untuk dibiakkan. Walaupun berbeza cara antara pembiak ikan laga, namun konsepnya sama.


Penulis kongsikan pengalaman penulis sendiri dalam membiakkan ikan betta di rumah. Supaya bakal 'breeder' dan pemula pembiak bersedia dahulu sebelum membiakan ikan betta.

Langkah Satu Per Satu Membiakkan Ikan Betta

Perlu ada ilmu sebelum memulakannya kerana dengan persediaan dan ilmu awal maka tidak akan merumitkan keadaan kerana sudah bersedia dalam proses membiakkan ikan betta.

Tidak kira ikan betta hibrid atau ikan laga liar.

1. Pemilihan Induk Sesuai

Buat pemilihan induk jantan dan induk betina berdasarkan umur, saiz dan kesihatan ikan betta.

Umur yang sesuai untuk dibiakan adalah sekitar umur 4 bulan dan ke atas. Lebih baik adalah 6 bulan ke atas.

Ikan yang masih muda ada yang mentalnya belum bersedia untuk menjaga anak, maka terjadilah situasi induk makan telur, induk tidak mengutip telur dan induk memakan anak.

Saiz jantan haruslah lebih besar berbanding betina. Selain dari faktor siapa yang lagi kuat kerana saiz, saiz betina yang lebih besar dari induk jantan menyukarkan proses membelit ketika mengawan nanti.

Kesihatan amat penting untuk kedua-dua induk. Risau akan mewarisi kemurungan atau penyakit lain selain menjaga kualiti anak-anak ikan.

Ikan yang tidak kuat dari segi fizikal dan mental jarang akan berjaya dikahwinkan.

2. Makanan Ketika Pembiakan Ikan betta

Mengikut pengalaman penulis, untuk beberapa hari penulis tidak akan memberikan induk makanan sepanjang proses mengawan.

Berilah induk betta makan sebelum untuk dibiakan.

Ketika proses mengawan boleh sahaja beri makan tetapi demi menjaga kualiti air sebolehnya puasakan induk sepanjang proses perkahwinan.

3. Set Up Bekas Pembiakan (Pemijahan)

Perkara asas dan utama adalah bekas untuk induk ikan betta dikahwinkan. Bukan semua bekas boleh digunakan. Tidak terlalu kecil dan sempit apalagi terlalu besar dan luar.

Terlalu kecil pergerakan induk akan terhad dan susah untuk kawalan induk. Boleh menyebabkan ikan betta tekanan (stress).

Terlalu besar bekas boleh menyebabkan privasi dan perkenalan antara ikan betta jantan dan ikan betta betina terganggu.

Seperti juga manusia, bilik adalah tempat terbaik untuk bergurau senda.

Tips: Gunakan bekas yang besar atau panjang. Sediakan sekatan atau bekas untuk proses pembiakan.

4. Set Up Air Berkualiti

Kualiti air adalah paling penting bagi ikan laga. Tidak kira untuk belaan biasa apalagi untuk dikahwinkan.

Tidak perlu kita tahu nilai pH atau keasidan air dengan begitu terperinci.

Cukup mengetahui bahawa air yang akan digunakan sudah diperam 2 hingga 3 hari atau sudah diletakan anti-klorin.

Lebih terbaik diletakan air ketapang sedikit atau helaian daun pisang tua.

Bagi mengelakan ammonia dari najis ikan, bolehlah letakan juga tumbuhan air seperti kiambang atau lumut terapung.

5. Perkenalan (Percintaan) Induk Betta

Perkenalan betta biasanya diasingkan jantan betina walaupun dalam satu bekas pemijahan. Asingkan betina di dalam botol atau bekas lain yang jernih dan lutsinar (transparent) seperti botol plastik atau bekas belian air balang.

Memang fitrah ikan laga tidak kira jantan atau betina memang dalam genetiknya ada sifat agresif. Bagi penulis ikan betta memang memiliki sifat paranoid dalam minda mereka.

Perkenalan antara satu sama lain boleh dikatakan juga penting. Jika dalam proses pengenalan jantan mula membuat buih, itu tandanya, ia bersetuju dengan perkahwinan berkenaan.

Tapi ada juga ketika, jantan gagal membuat buih, namun selepas disatukan akan membuat buih dan terus bertelur.

6. Satukan Betta Jantan dan Betina : Perkahwinan Ikan

Apabila sudah banyak buih itu tandanya ikan sudah bersedia untuk mengawan. Proses pengenalan sudah tamat dan satukan sahaja kedua dua induk.

Walaupun gagal kelihatan buih, lepaskan sahaja betina. InshaAllah jika serasi tiada adegan kejar mengejar yang kadang kadang boleh menyebabkan kematian.

7. Proses Mengawan Ikan Betta

Proses ini memerlukan suasana yang amat sunyi dan tidak terangDinasihatkan bahawa perlu ditutup bekas pembiakan supaya senyap dan gelap.

Jangan ganggu seperti membuka dengan acap kali risau induk akan stress dan gagal mengawan.

Cara mengawan ikan betta adalah dengan jantan membelit tubuh betina dan menyuntik sperma ke dalam terus yang dilepaskan betina.

Jika ingin melihat keadaan atau ingin lihat sudah bertelur atau tidak, lakukan sekali pada pagi dan sekali pada petang.

8. Alihkan Induk Betta Betina

Setelah diyakini sudah ada telur pada buih bolehlah keluarkan betina dari bekas.

Cara untuk tahu sudah ada telur adalah pertama sekali si betina sudah menyorok dan berada di sudut. Si jantan menghalau ikan betina.

Suluh pada buih terdapat bentuk putih putih yang seperti nasi atau jika pernah melihat telur semut begitulah rupa telur ikan betta pada gelembung buih.

Sudah pasti angkat si betina dari bekas, supaya betina tidak 'dipukul' sampai mati oleh pejantan atau betina memakan telur.

9. Betta Jantan (Pejantan) Jaga Anak

Biarkan induk jantan menjaga telur. Biasanya ikan jantan akan mengutip telur yang jatuh ke dasar bekas dan memasukkan kembali ke gelembung buih.

Selain itu, ikan jantan akan memakan telur yang tembelang (kekuningan) supaya air tidak membusuk dan kotor.

Biarkan pejantan menjaga telur sehingga menetas

10. Alihkan Induk Betta Jantan 

Terdapat dua cara yang biasa dilakukan para pembiak ikan laga.  Bilakah waktu sesuai untuk alihkan pejantan betta dari bekas pembiakan ?

Apabila telur ikan betta menetas, ikan ini belum cukup kuat untuk berenang. Jika pernah lihat, ia (fry) berpusing pusing dan berenang tidak betul.

Ada juga fry yang jatuh ke bawah, oleh kerana belum cukup pandai berenang sukar untuk fry naik untuk mendapatkan udara.

Jadi, disinilah tugas induk jantan, membawa anaknya dengan menggunakan mulut untuk diletakan ke gelembung buih atau di bahagian atas bekas.

Boleh juga alihkan jantan selepas fry menetas, tetapi pastikan air disurutkan kepada 3/4 air asal supaya fry dekat dengan udara.

Ada saja pembiak ikan betta tidak mengalihkan induk jantan selama 3 minggu umur fry supaya mengawal pembiakan jentik-jentik. 

11. Beri Anak Ikan (Fry Betta) Makanan

Bahagian paling penting apabila membiakan ikan laga. Pastikan anda tahu makanan terbaik untuk anak ikan laga. Pastikan juga anda boleh mendapatkannya.

Anak ikan lagi hanya boleh diberi makan pada umur 4 hari selepas ia menetas.

Bagi hari menetas sehingga hari ketiga, mereka masih memiliki kantung makanan dalam badan.

Anak ikan laga terbaik diberi makanan hidup. Memang sifat ikan laga yang suka mengejar dan tertarik dengan makanan hidup.

Antara makanan hidup terbaik untuk anak ikan laga adalah;

- Kutu air

- Baby Brine Shrimp (BBS)

- Infusoria

- Microworm

Sebaiknya berikan kutu air yang sudah ditapis untuk mendapatkan kutu air yang halus.

Jika sukar untuk ditemui kutu air, BBS adalah pilihan lain. Tetaskan sendiri telur BBS, dan berikan kepada anak ikan atau fry betta.

Terdapat dua jenis BBS, small roe dan big roe. Penulis menggunakan BBS small roe untuk umur fry 4 hari sehingga 2 minggu. Dua minggu sehingga umur sebulan penulis gunakan BBS big roe.

Terdapat banyak alatan tetas dan telur BBS di pasaran.

[Beli Alatan dan Telur BBS Disini : KLIK SINI]

Infusoria adalah mikroorganisma dalam air yang membusuk. Terlalu kecil dan agak melambatkan pembesaran anak ikan.

Microworm sebolehnya jangan diberikan kepada anak ikan, namun, jika terdesak dan sukar mendapatkan makanan hidup lain bolehlah digunakan.

Tidak digalakan menggunakan pelet walaupun bersaiz kecil atau kuning telur kerana makanan seperti ini boleh merosakkan kualiti air yang akan menyebabkan anak ikan mati.

Pengalaman Membiakkan Ikan Betta Sendiri Di Rumah

Langkah langkah dan tips yang penulis kongsikan di atas adalah dari pengalaman penulis sendiri cuba membiak ikan betta dirumah.

Alhamdulillah semua berjaya. Antara jenis (line) ikan betta yang pernah penulis biakkan adalah;

- AOC Fancy Betta

- Yellow Fancy Betta

- Candy Betta

- Yellow Koi Betta

Semuanya berjaya dengan langkah dan cara pembiakan yang penulis kongsikan di atas. Mungkin lain pembiak (breeder) lain caranya, tapi inilah cara penulis.

Anda fikir anda tahu Langkah Langkah Lengkap Cara Biakan Ikan Laga (Betta) Sendiri ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.


Catat Ulasan

0 Ulasan