Day Trip Island Hopping Di Pulau Sapi dan Pulau Manukan Sabah


"Island Hopping Sapi dan Manukan"

Sabah sendiri berada di kepulauan, kepulauan Borneo. Jadi tidak begitu pelik jika Sabah juga dikelilingi pulau dalam wilayahnya sendiri.



Islands Hopping Pulau Sapi dan Pulau Manukan
Islands Hopping Pulau Sapi dan Pulau Manukan

Kecantikan pulau sekitar Sabah salah satu faktor penarik pelancong yang sering membuatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu agak sesak.


Datang ke Sabah tanpa menjejakkan kaki di pulau-pulaunya kurang lengkap percutian di Sabah.

Semuanya bermula di jeti feri di Jesselton Point. Pintu masuk ke pulau-pulau dalam kawasan Tuanku Abdul Rahman Park, pulau yang boleh dikatakan dikhaskan untuk pelancong meneroka sendiri keindahannya.

Pulau-Pulau Dalam Tuanku Abdul Rahman Park

Dalam Tuanku Abdul Rahman Park ini terdapat beberapa buah pulau seperti Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pulau Mamutik, Pulau Gaya dan Pulau Sulug.

Bagi percutian island hopping di Sabah kali ini penulis memilih dua buah pulau, iaitu Pulau Sapi dan Pulau Manukan.

Mencari Tiket Feri Islands Hopping

Di jeti feri Jesselton Point terdapat pelbagai syarikat feri yang menawarkan harga yang menarik. Pengunjung perlu pandai memilih pakej-pakej yang disediakan.





Banyak kaunter tiket untuk island hopping di pulau-pulau ini yang dibuka untuk pilihan. Boleh digambarkan seumpama pasar tani jugalah dengan sambutan dari pekerja pengusaha feri yang inginkan pelancong memilih perkhidmatan mereka.




Setelah selesai mendapatkan tiket (boleh rujuk bahagian harga tiket feri dibawah artikel ini), ada baiknya penulis dan rakan-rakan mendapatkan bekalan makanan.




Sepertimana pengalaman sebelumnya, makanan yang dijual di pulau-pulau yang akan disinggahi nanti agak mahal dengan bajet ekonomi kami.

Sediakan Bekalan Makanan

Terdapat gerai makanan yang terdapat diantara platform menaiki feri dan pintu masuk dengan tempat duduk disediakan. Banyak juga jenis makanan yang ada dari nasi dan makanan berat sehinggalah makanan kudapan. Dengan harga masih harga daratan.

Kedai Pakaian Ke Pulau

Bagi mereka yang agak pelupa seperti penulis, tertinggal kaca mata hitam untuk menahan sinaran matahari yang terus memasuki kornea mata dengan kadar yang terhad boleh mendapatkan kaca mata apalai topi jerami ala-ala luffy budak getah untuk ke pulau nanti.





Baju renang beserta seluar renang juga dijual. Pandai tawar dapat murah, gunakan lenggok-lenggok bahasa Sabah mungkin boleh diskaun.

Akan terdapat seorang 'tour guide' dari pihak pengusaha feri yang anda pilih membantu anda untuk mengetahui mana feri yang perlu anda naiki nanti. Tunjukan sahaja tiket yang sudah disahkan tadi.

Perjalanan Ke Pulau Dengan Feri

Bila feri sudah sampai, pasangkan semangat kita boleh untuk mengharungi air laut masin untuk 10-15 minit nanti. 'Life jacket' akan diberikan kepada setiap pelancong yang akan melakukan aktiviti Island hopping ini, gunakan jaket keselamatan ini sehingga pulang kembali dari aktiviti ini nanti.





Life jacket untuk keselamatan semasa dalam bot dan untuk mandi manda dan snorkeling nanti. Usah risau untuk kanak-kanak juga disediakan.

Penulis memang seronok apabila menaiki feri yang agak laju sebagaimana feri ini, apalagi bunyi dentuman gentian kaca bot dihempas dengan gelombang laut hasil dari angin.





 Lebih menyeronokan apabila dikocak gelombang lebih besar dari pertembungan laluan antara bot, ditambah pula dengan tiupan angin beserta air laut yang masin menerpa muka dan badan.




Ketika ini mahu menjerit (untuk wanita biasanya hehe) sudah sukar didengari kerana bunyi bot dan angin. Sedikit kenangan mengharungi lautan menuju ke Pulau melalui video di bawah:




Pulau Sapi

Dengan mengambil masa lebih kurang 15-20 minit, penulis sampai di destinasi pertama Pulau Sapi.




sampai sahaja di Pulau Sapi kenangan sedikit di hadapan pintu gerbangnya yang menandakan bahawa anda sudah sampai ke destinasi ini. Disini pelancong akan membuat 'checkpoint' atau lapor diri pada staf yang bertugas.




Penulis ingat gambar yang sering dilihat di mana-mana tentang pantai yang putih dengan air laut sekitar bewarna hijau itu adalah 'edit' semata-mata.




Namun, memang benar warna air lautnya yang hijau dan langit biru, pasir pantai memutih, subhanallah ini betul-betul kejadian.

Hilang penat dilambung ombak.


Lakukan apa saja aktiviti bermoral dan tidak berasaskan jenayah disini. Bebas untuk pengunjung di Pulau ini untuk 2 jam berikutnya.



Apalagi, laut sudah memanggil-manggil, peralatan snorkeling sudah diganti. Action camera sudah berfungsi. Walaupun memang agak ramai dengan pelancong, masih ada ruang untuk bernafas melihat keindahan alam yang sememangnya bukan hari-hari boleh dinikmati.

Apa lagi, jum snorkeling.

Masing-masing sedang asyik membilang ikan-ikan yang pelbagai jenis melalui bahagian bawah manusia yang terapung.

Warna apa yang anda ingin lihat pada badan ikan ? Semua ada. Paling banyak yang boleh penulis gambarkan adalah ikan banduan, yang belang-belang begitu.





Dengan bantuan action camera, dapatlah penulis dapatkan sedikit video betapa jinaknya ikan-ikan ini. Jinak kerana lapar mungkin.

Dua jam menikmati Pulau Sapi, walaupun masih tidak puas bersama pulau ini perlu menuju ke pulau seterusnya pula. 





Pulau Manukan

Tidak begitu jauh dari Pulau Sapi, Pulau Manukan menghala ke tanah besar Sabah sedikit. Mungkin dalam 5 minit menaiki feri dari Pulau Sapi.





Pandangan pertama yang penulis dapat saksikan adalah pohonan rhu sekitar tepian pantai. Terdapat bangunan berupa chalet. Sejujurnya, di Pulau Manukan populasi pelancong tidak seramai di Pulau Sapi. Agak kurang meriah berbanding Pulau Sapi.




Terbaik juga keadaan ini, boleh melepaskan lelah sedikit dan waktu tengahari sudah tiba mungkin boleh mengisi perut mendapatkan kalori untuk mandi manda dan snorkeling di Pulau Manukan pula.




Jom mandi dan snorkeling sekali lagi..




Selesai makan, apalagi, mandi dan terus buka mata bulat-bulat untuk melihat apa yang ada di dasar cetek pantai Pulau Manukan ini.




Sekali lagi boleh dikatakan agak kecewa, populasi ikan di sini selari dengan populasi pengunjungnya.



Gambar penulis posing ketika snorkeling gagal dikesan memandangkan penulis banyak meluangkan masa sebagai fotografer tidak professional dan pemburuan ikan-ikan dalam air. Jadi gambar isteri dan rakan-rakan pun sudah cukup menggambarkan kegembiraan kanak-kanak dewasa bermain air.



Di keadaan cuaca yang amat baik, terlebih baik sebenarnya dengan pacakan terus menerus matahari dari atas kepala, teruja dengan air laut dan pulau, kami gagahkan jua meneruskan aktiviti yang bukannya setiap hari dilakukan ini.




Agak kurang ikannya untuk dilihat, melainkan satu sahaja yang menarik perhatian dibawah air menghijau ini, ikan paddle pop.

Nama ikan ini diberikan oleh kami sekalian. Warnanya seumpama ais krim paddle pop yang bewarna-warni. Sejujurnya itu sahaja ikan yang ada, tidak sebanyak di Pulau Sapi.




Jika difikirkan cukup bagus sebenarnya, boleh mandi dan berenang melihat dasar laut dengan tenang.

Pulang Ke Jeti Jesselton Point

Dua jam berlalu, selesai membilas badan yang mungkin menyebabkan menjadi ikan masin jika tidak dibilas (mungkin juga telur masin hehe) agak sedih untuk meninggalkan Pulau Manukan.




Kedua-dua pulau, Sapi dan Manukan terdapat keistimewaan sendiri. Nak meriah jum ke Pulau Sapi, nak tenang nikmati keindahan Pulau Manukan.



Mungkin di lain trip penulis akan mencuba tiga lagi pulau yang belum diterokai mata.

Informasi Pengunjung

Lokasi Jeti Feri Island Hopping

Jalan Haji Saman, 
Pusat Bandar Kota Kinabalu 
Kota Kinabalu 88000 
Sabah





Harga Feri Island Hopping

Pulau Sapi

Dewasa : RM23
Kanak-Kanak : RM18

Pulau Manukan

Dewasa : RM23
Kanak-Kanak : RM18

(Harga pergi-balik)

Bajet yang digunakan untuk aktiviti ini (2 pulau) RM50/seorang.

Mask Snorkel: RM10
Life Jacket: RM10





Waktu Operasi

Beroperasi setiap hari.

Pulau Tunku Abdul Rahman Park : 8.30 a.m hingga 5 p.m
Jeti Feri Jesselton Point: 6 pagi - 5 p.m





Persediaan Ke Pulau-Pulau

Dengan cuaca panas dan hawa khatulistiwa, hilang kehangatan yang ada selepas menjadikan pengalaman menikmati keindahan alam di dua buah pulau di Sabah ini sambil menikmati aktiviti hidupan dalam air melalui aktiviti snorkeling.

1. Makanan tambahan
2. Sun block
3. Ubatan 
4. Air minuman mencukupi

Jangan lupa buat persediaan yang lengkap untuk ke pulau, memang untuk bersantai namun persediaan untuk ke pulau penting untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak elok.

Satu lagi tips untuk yang ingin ke kawasan pulau sebegini boleh dapatkan beg kalis air seperti keluaran HyperGear Malaysia untuk memudahkan anda menyimpan barangan penting supaya tidak terkena air masin.





Bak kata Pak Jabit, Wahai penduduk-penduduk kampung jagailah kebersihan kampung kita.

Jom subscribe channel youtube blog ini untuk itinerary percutian, review penginapan dan pelbagai aktiviti ketika melancong






Jom lawat Pulau Sapi dan Pulau Manukan dengan promosi terhebat melalui TripCarte 

Anda fikir anda tahu Pengalaman Island Hopping Di Pulau Sapi dan Pulau Manukan Sabah ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Catat Ulasan

0 Ulasan