Header Ads

Teh Tarik Madu Ais Warung Pak Mat Pulau Pisang Kelantan


"Teh Tarik Ais Madu Pulau Pisang"

Uniknya teh ais madu ini adalah dari segi bagaimana ia tersedia untuk pelanggan. Lebih menjurus kepada teh ais 'gunung berapi' yang sedang galak mengeluarkan laharnya ke permukaan bumi, ironinya ia sejuk.


Teh Tarik Madu Ais Pulau Pisang
Teh Tarik Madu Ais Pulau Pisang
Berbuih, bewarna jingga pekat sungguh menyelerakan sekali pandang. Melihatkan gambarnya sahaja sudah membangkitkan satu nafsu untuk mencubanya.


Semua kedai dan restoran mampu menyediakan teh ais, namun untuk memesan teh ais madu bukan semua restoran ada menyediakan hidangan ini.

Teh Tarik Madu Ais Buih Viral


Teh Tarik Madu Ais Meleleh
Setelah mula viral dan trending, terdapat beberapa buah restoran memperkenalkan hidangan minuman ini di restoran masing-masing. Salah satunya adalah di Restoran Pak Mat Pulau Pisang, Kota Bharu.

Warung Pak Mat Pulau Pisang Kelantan

Meskipun penulis anak kelahiran Kota Bharu ini kali pertama penulis membuat ulasan makanan sekitar Kota Bharu. Penulis mulakan dengan teh ais madu di Restoran Pak Mat Pulau Pisang.


Warung Pak Mat Pulau Pisang
Kita kenali dahulu karakter restoran ini. Sebuah restoran yang lokasinya di pinggir Sungai Kelantan. Sebuah restoran yang telah dibangunkan semula kawasannya sebagai satu tempat makan yang lebih teratur.

Di kawasan ini bukan sahaja didiami oleh restoran Pak Mat sahaja terdapat beberapa buah restoran lain yang menyediakan hidangan yang pelbagai. Tidak begitu jauh dari Pantai Cahaya Bulan yang popular dengan makanan ala tepian pantai.

Tema Menu Hidangan Masyarakat Tempatan

Di Warung Pak Mat Pulau Pisang tema makanannya adalah berunsurkan makanan masyarakat tempatan dengan hidangan biasa penduduk Kelantan.


Citarasa Masyarakat Tempatan
Lebih kepada masakan singgang dan berkuah. Inginkan nasi putih panas-panas, berlaukkan kepala ikan yang disinggang inilah tempat terbaik untuk merasai masakan singgang popular Kelantan. Sup kepala ikan.

Jika bercerita tentang ikan singgang, sudah membuatkan penulis mula menitis air liur apalagi ikan singgang ikan tongkol yang digunakan, ika aya namanya di Kelantan.

Memandangkan jadual agak padat untuk hari penulis datang berkunjung ke restoran ini, penulis sekadar sempat mencuba teh tarik ais madu popular di Pulau Pisang ini sahaja. Mungkin lain kali penulis cuba menikmati makanannya pula, dari kampung penulis ke restoran ini tidaklah begitu jauh, 15-20 minit dengan Viva 850 boleh sampai.


Taman Permainan Kanak Kanak
Teh Ais Madu Pulau Pisang yang disediakan di Restoran Pak Mat mula dipesan.

Awal pagi di restoran ini sudah cukup ramai pengunjung. Kebanyakan sudah memulakan hari dengan hidangan berat, ini cukup biasa bagi penduduk pantai timur yang terkenal dengan makanan pagi nasi berlauk.

Konsep layan diri untuk mendapatkan makanan selain dari teh tarik madu.

Ingin Cuba Teh Tarik Madu Ais Float

Di rancangan awal, penulis ingin memesan teh ais madu float iaitu teh ais madu dengan aiskrim, oleh kerana trak aiskrim belum sampai sebagaimana apa yang diberitahu staf pelayan maka mungkin lain kali untuk float yang berperisa vanila tersebut.

Tidak berapa lama teh ais madu yang dipesan sampai. Memang sama dengan gambar yang tular di media sosial, dengan buih menyelimuti bahagian atas gelas bersaiz sederhana dengan bau aroma teh ais yang baharu siap.

Lelehan yang ingin menuruni dinding luar gelas dengan bantuan tarikan graviti bumi penulis sekat kemaraan buih tersebut dengan satu hirupan pertama kali.

Rasa Teh Tarik Madu Ais Pak Mat

Manis, memang madu manis, bermadu mungkin tidak manis bagi isteri pertama. Aromanya memang lain dengan teh ais biasa.


Buih Kaw Teh Tarik Madu
Buihnya sudah agak manis apalah pula rasa airnya. Pada hirupan pertama penulis berjaya mendapatkan satu rasa persamaan dengan rasa manis air cendol, ada rasa asap salai pun ada.

Memang agak lain rasanya. Pengalaman rasa pertama. Madu banyak khasiat usah khuatir dengan manisnya.

Dalam segelas teh ais madu ini kaya dengan rasa teh sebenarnya. Bukan sekadar madu dan air semata-mata. Rasa kelat teh yang pekat dicampur dengan rasa madu yang manis memang menerbitkan satu rasa baharu untuk segelas teh ais apalagi dengan aroma dan buih yang mengelilingi gelas.

Ingin Cuba Hidangan Pelbagai Singgang/Sup

Jika disedut sekaligus mungkin akan menyebabkan 'brain freeze' dalam versi lain.


Pelbagai Sup Kepala Ikan
Dari hipotesis awal penulis, memang kena hidangan yang disediakan disini. Makanan asas yang tidak banyak memerlukan santan atau susu dalam masakan iaitu singgang.

Ditemani dengan teh ais madu yang berlemak manis memang kena. Untuk kunjungan seterusnya mungkin ada baiknya penulis mencuba nasi putih singgang kepala ikan dengan teh ais madu ini.

Dua dua memiliki nilai rasa berbeza dan jika difikirkan cukup ideal untuk dinikmati bersama.

Informasi Pengunjung


Tepi Sungai Kelantan
Tidak begitu jauh dari bandar Kota Bharu. Jalan menghala ke Pantai Cahaya Bulan dan terdapat satu simpang (Jalan Kuala Besar) untuk ke kawasan 'food court' tepi Sungai kelantan. Dikenali juga sebagai MIB, Medan Ikan Bakar.

Alamat

Jalan Kuala Besar, 
15350 Kota Bharu, 
Kelantan



Harga Teh Tarik Madu Ais Pak Mat




RM4.20 (gst) RM4.00 tanpa gst segelas.
Makanan mengikut harga semasa.




Waktu Operasi Warung Pak Mat  Pulau Pisang

Di buka setiap hari kecuali hari Selasa. Bermula jam 7.30 pagi sehingga 4.30 petang.

Kawasan Parkir


Kawasn parkir
Agak luas dan teratur. Tidak melebihi 25 kenderaan sedan dalam satu masa.

Anda fikir anda tahu Teh Tarik Ais Madu Berbuih Warung Pak Mat Pulau Pisang Kelantan ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.