Header Ads

Pengalaman Bersama Burung Unta Di PD Ostrich Show Farm


"Taman Burung Unta PD"

Port Dickson memang cukup terkenal dengan tempat menarik ketika bercuti. Berdua, dengan rakan-rakan dan dengan famili, Port Dickson tidak pernah tidak mengecewakan pengunjung.


Pengalaman Di Ostrich Show Farm Port Dickson
Singgah Di PD Ostrich Showfarm
Sedikit perkara yang mengecewakan adalah kesesakan trafik ketika musim cuti. Itu tidak mengapa, jadikan sebahagian pengalaman ketika bercuti.


Selalunya bercuti di Port Dickson dari zaman berzaman adalah kawasan pantainya. Cukup indah untuk berkelah, riadah dan mandi manda.

Dari zaman filem hitam putih lagi Port Dickson memang terkenal. Bermula sebagai kawasan peranginan pantai dan laut, tumbuh pula pelbagai tempat menarik yang lari sedikit dari klise pantai.

Safari Ladang Burung Unta

Salah satunya, adalah kawasan safari untuk melihat lebih dekat burung unta. Bagi yang tidak biasa melihat burung unta, inilah masa yang terbaik untuk membelai dan memberi makan secara berdepan dengan burung untuk.


Replika Burung Unta
Ladang Burung Unta
Di mana lagi kalau bukan di PD Ostrich Show Farm.

Taman tema seumpama mini zoo dengan konsep safari iaitu dengan memerlukan pengunjung berjalan ke stesen-stesen yang disediakan cukup menarik untuk dekat dengan haiwan yang agak jarang ditemui disekitar Malaysia.

Burung Unta Dalam Kandang

Ada yang diletakkan didalam kandang (kebanyakan adalah di dalam kandang) ada juga yang dilepaskan di luar kandang, burung unta yang betul-betul jinak. Burung unta memang satu spesis haiwan dalam kategori burung yang unik berbanding burung kontemporari lain.


Fakta Burung Unta
Fakta Burung Unta
Dengan leher yang jinjang, tubuh yang besar, susuk kaki yang panjang dan dengan ketinggian normal seekor unta cukup untuk memperlihatkan keunikannya.


Zoo Burung Unta Retired
Rumah Burung-Burung Unta Tua
Pengunjung berpeluang untuk bergambar dan memberikan makan kepada burung-burung unta ini yang telah dilatih khas untuk tidak panik dengan kehadiran manusia.

Dalam taman ini bukan sahaja ditempatkan burung unta namun pelbagai haiwan lain yang selalu dilihat dan kurang selalu dilihat seperti unta. Burung, kambing, ayam, arnab dan merak adalah watak lain yang terdapat di taman burung unta Port Dickson ini.

Selepas parkir kenderaan di bahu jalan, pengunjung, boleh terus mendapatkan tiket masuk di kaunter hadapan.

Aktiviti Sekitar Ladang Burung Unta

Selepas dipakaikan dengan gelang menandakan tiket sudah dibeli, pengunjung akan melalui staf-staf yang sedang memegang makanan/diet haiwan di dalam taman ini untuk diberikan makan.


Makanan Burung Unta
Bersedia untuk Memberi Burung Unta Makan
Daun lalang seumpama daun tebu dan bijiran dijual kepada mereka yang ingin mendapatkan pengalaman memberi makan haiwan-haiwan ini terutama burung unta.


Kambing Pun Ada
Sangkar pertama, pengunjung akan melihat haiwan yang sememangnya sudah dikenali ramai iaitu kambing. Luangkan sedikit masa dengan membelai janggut kambing dan berikan sedikit daunan makanan sebagai upahnya.


Beri Kambing Makan
Seterusnya melalui laluan kecil ke arah kanan, dari jauh sudah dapat dilihat burung unta yang berada di dalam kandang yang sedang menanti kunjungan penulis. Apalagi mata mereka sedang tertumpu kepada daun lalang yang meliang liuk tunggu untuk dingap sahaja.

Berikan Burung Unta Makan Daun

Usah takut untuk menghulurkan daun kepada burung unta ini, mungkin akan ada rasa gerun namun dengan teknik dan cara yang betul menjadi kepuasan melihat daun yang diberikan habis dimakan.


Beri Burung Unta Makan
Isteri penulis juga yang dalam keadaan agak risau dipatuk burung ini berjaya memberanikan diri dengan memberikan daun untuk disantap burung unta.


Ready untu Ngap!
Tips yang boleh penulis kongsikan untuk memberikan burung unta ini makan adalah, dengan mengenggam erat batang daun tersebut hulur perlahan-lahan, kerana risau daun tersebut terpelanting memandangkan cara burung unta menjamu daun ini dengan kaedah menyentap.


Patukan Kelaparan
Bagi kaki pancing, perasaan ini agak familiar kerana seumpama berjaya disentap seekor ikan kerapu seberat 2kg. Jangan risau, burung-burung unta ini cukup 'friendly' tambahan pula terdapat staf yang akan membantu anda dan mungkin menjawab pertanyaan mengenai burung unta.

Boleh dikatakan bahagian kanan taman ini ditempatkan dengan burung unta. Setiap kandang paling kurang diletakkan dengan tiga dan empat ekor burung unta.

Ini bahagian paling menarik, selepas melepasi kandang kedua, terdapat seekor burung unta yang dilepaskan diluar kandang, dengan ditemani seorang penjaga.

Puteri, Si Burung Unta Jinak

Seekor burung unta yang cukup jinak dengan manusia, yang diberikan nama Puteri, burung unta betina. Pengunjung boleh bergambar dalam pelbagai aksi, memeluk, mengusap apalagi mengira bulunya (jika itu hobi anda) kecuali melakukan aktiviti ganas dan tidak sopan terhadap Puteri.


Si Puteri Burung Unta
Cukup jinak, memang menjadi 'duta' kepada taman hidupan burung unta ini.


Bersama Puteri SI Burung Unta
Penulis dan isteri berkesempatan bertemu Puteri si Burung Unta ketika ia sedang asyik meminum air. Dahaga gamaknya.

Penjaganya memberikan peluang untuk menyentuh secara lahiriah ke badan puteri, memang cukup jinak. Memeluk dan merangkul lehernya yang panjang berjaya penulis dan isteri jadikan kenangan.

Sukakan Topi Pengunjung

Namun, awas bagi penggemar snapback atau pemakai topi. Puteri suka betul mematuk dengan lembut jika sesiapa yang memakai topi di kepala.


Cubaan Cabut Snapback Penulis
Snapback penulis dibuang si Puteri tanpa sebarang amaran, itulah sifat Puteri, kata penjaganya. Namun, ia memang jinak dan memang tiada sebarang niat untuk mencederakan manusia, penulis dapat rasakan semasa berada bersebelahan haiwan unik ini.


Tinggi Betul Burung Unta
Daun lalang buluh masih banyak dalam gengaman dan cuba penulis dan isteri habiskan untuk diberikan kepada burung-burung unta yang lain.


Berselera Betul Makan
Memang banyak burung unta yang dipelihara di sini. Sukar untuk ditemui sebanyak ini jika bukan habitat asal. Telatah dan sifat ingin tahu burung-burung ini mampu memberikan senyuman kepada pengunjung.


Berkawan - Kawan Burung Unta
Kuda Padi, Keldai dan Lembu

Oh, simpanlah sedikit untuk beberapa haiwan ragut yang lain yang berada tidak jauh dari kawasan burung unta sahaja. Terdapat kuda padi dan keldai, dua haiwan dari spesis kuda yang renek ketinggiannya.


Berikan Kuda Makan
Makin dipandang makin comel melihatkan kuda padi yang memang renek dari aspek ketinggiannya.Apalagi kawan rapatnya si keldai yang memang memiliki karakter fizikal yang sama. 


Kuda Padi Keldai
Selain dari dua spesis renek dan comel ini, terdapat juga lembu yang diimport dari luar. Mungkin lembu yang sentiasa kita lihat di kotak-kotak susu uht di pasaran atau iklan-iklan lembu. Lembu tompok-tompok hitam putih.


Lembu Pun Ada
Jika makanan untuk haiwan sudah kehabisan, terdapat beberapa 'kiosk' untuk belian makananan untuk aktiviti 'feeding the animal'.

Unta Kesunyian

Di penjuru kanan jika datang dari arah ladang burung unta, terdapat seekor unta yang dipelihara di sini. Agak pemalu mungkin kesunyian memandangkan hanya seekornya sahaja. Penulis berusaha memanggilnya namun tidak pasti sombong atau malu.


Kelibat Seekor Unta
Secara membulat, pengunjung seterusnya akan ke bahagian aktiviti untuk aksi burung unta.

Pertunjukan Aksi Lumba Lari Burung Unta

Pada hari penulis di sini, kami disajikan dengan pertunjukan berlari bersama burung unta. Orang ramai diberikan peluang untuk berlari bersama dengan burung unta.

Berlari Bersama Burung Unta | Sprint Test

Kanak-kanak yang digalakkan menyertainya. Terdapat juga aktiviti menunggang burung unta namun, dikhaskan untuk mereka yang berat badan tidak melebihi 40kg.

Sekitar kawasan restoran dan bahagian administration taman ini terdapat beberapa haiwan lain dipamerkan seperti burung merpati, burung merak, ayam, arnab dan ikan koi renang-renang.

Hamster, Arnab dan Guinea Pig yang Comel


Feeding Petting Arnab
Pasti anak-anak kecil akan terpesona apabila memasuki mini zoo untuk hamster, guinea pig, dan arnab dengan kecomelan haiwan-haiwan ini.


Belai Arnab
Dalam bentuk sangkar haiwan-haiwan ini diletakkan mengikut spesis masing-masing. Bagi haiwan yang jinak dilepaskan untuk dibelai pengunjung. 


Guinea Pig yang Gebu
Berikan makan kepada mereka ini sungguh mengasyikkan, dengan gerakan gigi yang cukup laju mengigit makanan yang dihulurkan.


Sayur Pun Sodap
Semua haiwan comel ini memang tidak sabar untuk bertemu pengunjung apalagi pengunjung yang sedang membawa makanan, silap-silap jari pun di 'kokak'nya.


Di Penjara Janji Bak Kata Awie
Restoran Hidangan Sate Burung Unta


Kedai Sate Burung Unta
Di bahagian restoran, pengunjung boleh melepaskan penat lelah berjalan dengan mendapatkan makanan dan minuman yang dijual. Selain dari menikmati hidangan makanan berasaskan burung unta.


Harga Sate Burung Unta
Mungkin boleh menikmati sate burung unta dan telur dadar burung unta sambil melihat gelagat pengunjung sedang berdiri di atas sebiji telur burung unta yang memang keras untuk dipecahkan meskipun seorang dewasa berdiri di atasnya. 

Mampu menahan berat penulis 80kg (ketika kejadian).


Harga Steak Burung Unta
Selepas melihat dan memberi makan burung-burung unta, penulis sukar untuk melihat haiwan ini di atas pinggan dalam bentuk hidangan. Itu citarasa penulis hehe.


Telur Burung Unta Display
Telur burung unta memang keras, jika dilihat proses untuk mendapatkan isi telurnya memerlukan pekerja ladang menggerudi selepas mengetuk beberapa kali. Berjaya penulis buktikan betapa kerasnya telur burung unta apabila telur yang dipamirkan untuk dipijak mampu menahan berat sehingga lebih 80kg.


Aplikasi Berat Terhadap Telur Burung
Selain dari haiwan yang jarang dilihat di sekitar kawasan istirehat dan restoran dalam ladang ini terdapat haiwan lain yang dipamirkan.

Terdapat kolam kecil yang dibela dengan ikan koi yang berwarna warni. Ikan koi yang sedia menghiburkan peminat ikan dengan gaya renangan aktif.


Ikan Koi Renang-Renang
Burung yang bewarna warni seumpama burung serindit turut dipamirkan untuk menambahkan lagi tema zoo mini di ladang ini. Beri sahaja bijiran yang dibeli untuk makanan burung-burung ini.


Burung Dalam Sangkar

Taman Herba

Susur jalan untuk keluar terdapat laluan menarik untuk diambil gambar, mungkin dilitupi pokok labu air jenis tertentu, seumpama laluan dalam taman cukup indah.


Taman Herba
Dipenjuru pintu masuk terdapat taman herba yang masih dalam pembinaan, namun sudah terdapat beberapa tumbuhan yang jarang dilihat sudah ditanam dan di pamirkan.


Pelbagai Tanaman Herba
Tarikan lain untuk peminat lanskap taman dan tumbuhan herba ubatan yang jarang ditemui. Pakar petua orang tua-tua pasti gemar akan taman herba ini.


Tumbuhan Herba

Kedai Cenderahati PD Ostrich


Kedai Cenderamata PD Ostrich
Penjelajahan di PD Ostrich Show Farm ini diakhiri dengan satu kedai cenderahati yang mungkin boleh menjadikan kunjungan anda ke sini sebagai satu kenangan. Key-chain, fridge magnet dan pelbagai jenis cenderamata yang menarik bertemakan ladang burung unta ini menarik untuk didapatkan untuk sendiri mahupun rakan-rakan dan keluarga.

Informasi Pengunjung

Lokasi Ladang PD Ostrich Pets Farm

Lokasi Taman Burung Unta PD ini tidaklah begitu sukar untuk ditemui. Jika dari arah Lukut atau Lebuhraya Seremban-Port Dickson anda akan menemui ladang ini  selepas Pantai Teluk Kemang.

Boleh membuat carian menerusi alamat di bawah

Lot 1419, 
Jalan Perdana 4, 
71050 Port Dickson, 
Negeri Sembilan



Boleh ditemui di aplikasi waze dan google maps.


Waze Lokasi PD Ostrich Show Farm
Hubungi

Phone : 06-6627496, 018-2078682 (Mobile)
FAX: 06-6625919
Email :  ostrich@9wondersofpd.com

Harga Tiket PD Ostrich Show Farm


Tanda Anda Dibenarkan Masuk
Tiket untuk dewasa RM15
Tiket untuk kanak-kanak RM10

Waktu Operasi PD Ostrich Farm

PD Ostrich Show Farm Port Dickson dibuka setiap hari.

Mula beroperasi pada jam 9.30 pagi sehingga 6.00 petang

Parkir Kenderaan

Kawasan parkir kenderaan agak terhad kerana tiada sebarang kawasan parkir khas disediakan melainkan pengunjung meletakkan kenderaan di bahu jalan berhadapan dengan ladang ini dan bahu jalan sekitar. Jika waktu puncak mungkin akan menyebabkan sedikit kesesakkan untuk keluar masuk.




Anda fikir anda tahu Pengalaman Bersama Burung Unta Di PD Ostrich Show Farm ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.