Petanda Hari Raya Aidilfitri Sudah Dekat


"Menjelang Syawal"

Selain dari pengumuman oleh penyimpan mohon besar raja-raja, terdapat beberapa tanda-tanda bahawa menjelangnya hari raya puasa.Bagi mereka yang lupa akan berapa hari mereka sudah berpuasa atau alergik dengan kalendar mungkin juga seorang yang gagal membaca angka matematik pada kalendar.

Saban tahun menjelang aidilfitri, petanda sama akan kita temui. Ini yang menjadikan sebuah perayaan terutama hari raya aidilfitri antara cuti yang cukup meriah.



Meriam Buluh Raya Usop Sontorian

Shopping mall atau kedai-kedai akan memulakan 'sale' dan jualan diskaun. Sogo, GM Klang, Uptown, Mall, dan juga kedai-kedai sekitar jalan TAR mula sibuk dengan manusia yang ingin beraya.Baju melayu, kurta, kurti, baju kurung dan kain tidak duduk senang apabila menjadi mangsa belekan para pembeli yang sibuk memilih pakaian untuk hari raya. Diskaun sana, diskaun sini bergema dengan begitu jelas melalui corong-corong sistem PA kedai.Patung peragaan (mannequin) elok cantik dipakainkan dengan baju raya sebagai display. Memang sah raya dah dekat.


Radio mula memainkan lagu dendang perantau, mungkin lagu balik kampung dari sudirman. Kedengaran juga dari jauh di sebuah pasaraya pakaian memainkan lagu satu hari di hari raya dendangan M.Nasir.Masuk tren, komuter atau lrt, siulan dan 'humming' anak kecil dengan tema lagu raya boleh didengar sekali sekala memasuki corong telinga yang menggetarkan gegendang telinga sebelum dihantar ke cochlea untuk dihantar isyarat kepada otak.

Carta lagu raya mula menjadi sebahagian dari segmen stesen radio, masing-masing ingin menunjukkan betapa kesungguhan mereka bagi membodek pendengar supaya terus setia bersama mereka.

Jika malam pertama terawih menjadikan tok siak dan rakan-rakan begitu pening memikirkan mana lagi tikar yang mampu menampung bilangan jemaah terawih. Namun kini tok siak sudah mula tidak memikirkan hal tersebut kerana bilangan saf yang penuh semakin surut mengikut bertambahnya hari puasa. 

Hanya kelihatan jemaah yang setia bersama masjid pada sebelum kedatangan Ramadhan.Tanda berkurangnya bilangan saf penuh ketika terawih petanda raya sudah dekat. Bersangka baik, terawih tidak semestinya di masjid, boleh dilakukan di mana-mana.

Kesunyian malam-malam puasa tidak lagi dinikmati. Suasana tiba-tiba akan menjadi sebagaimana malam-malam puasa umat islam di Syria dan Palestine. Namun, masih selamat bagi orang sekeliling meskipun mampu menyebabkan van ambulans sibuk dengan penghantaran si pemain mercun. Dum dam, dun dam. Suasana ala-ala peperangan mengambil masa yang agak lama, ada juga berakhir sehingga menjelang sahur.Mercun 'pop' (mercun bawang) bertaburan di atas jalan petanda generasi kecil yang melakukan aktiviti 'menghalau' kucing-kucing. Bagi yang remaja pula bermain dengan mercun bola, ketupat atau roket. 

Namun, peminat mercun dewasa lebih agresif dengan bunga api yang besar semeriah pertandingan bunga api antarabangsa di Putrajaya. Bunga api besar dan mahal yang mampu memberikan gegeran dan mungkin juga kejutan pada imam yang sedang mengimamkan terawih. Peperangan bunyi mula berlaku dengan sahutan dari kampung ke kampung. Siapa lagi 'bass' bunyi meriam buluhnya.

Pelita dan lampu liplap liplap mula mewarnai setiap bingkai jendela rumah. Pelita yang tadinya baharu dibeli di pasaraya Mydin yang masih memiliki bau kotak mula dinyalakan menggunakan minyak tanah yang baharu dibeli selepas maghrib tadi singgah di kedai runcit berdekatan.Bau minyak tanah sudah sebati dengan deodoren nivea men, mana satu bau deodoren sudah gagal dikesan. Bagi masyarakat kampung, setiap depan lorong mula dijadikan eksperimentasi hiasan ketupat dan logo kubah masjid dengan menarik sekali hiasannya. Kampung kau ke kampung aku lagi meriah hiasannya.

Satu lagi petanda baharu abad ini, media sosial mula dipenuhi dengan ucapan maaf dipinta mensuci hening dosa. Semua pakat merungut akan kad 'touch n go' yang masih belum di 'top up' lagi.Bagi yang baharu sahaja memiliki kereta hasil ansuran 9 tahun, mula memasang aplikasi 'waze' atau paling koman Google Maps sebagai persediaan mencari jalan yang tenang dan yang mengurangkan maki kerana masalah jammed nanti, follow twitter infotraffic itu perlu. Perbandingan gambar meriam buluh antara siakapkeli, amran fans, oh media, penmerah, dan abdul rani kulup fans serta beberapa media satira lain mula bermula. Manakah yang memiliki fans yang mampu memberikan gambar meriam yang unik serta power porpaganda.

Benda ini jarang berlaku kepada mereka yang bekerja sendiri dan menganggur. Pihak admin bahagian kewangan (finance) mula mengedarkan senarai barang siapa yang ingin menukar duit raya dengan duit bersaiz kecil, atau yang baharu dicetak dengan nombor siri berjujukan.Sampul duti raya dari bank seperti HSBC, CIMB, MayBank dan sebagainya mula bergerak aktif apabila diedarkan oleh akak-akak admin finance office. 

Selain dari perkara biasa dilihat, stesen televisyen, berbayar atau tidak berbayar mula mempromosikan rancangan menarik sepanjang syawal nanti.Mula membuat slogan atau tagline raya seperti kosong-kosong, terima kasih atau sucikan hati. Program drama terdahulu mula menjadikan perkataan 'raya' sebagai tajuk baru seperti 'nama drama' raya, 'nama program' raya. Meriah betul promosinya, sehingga terlupa mengapa kita beraya, kerana kemenangan menahan hawa nafsu selama sebulan atau cukup syarat masuk bulan syawal.

Petanda raya sudah dekat menjadi satu kemeriahan dalam menyambut syawal, bagi yang betul-betul ikhlas menggunakan bulan ramadhan, kesedihan meninggalkan ramadhan dan bermulanya syawal menjadikan suatu suasana yang hiba, mampukah kita sampai untuk ramadhan seterusnya.

Kegirangan menyambut hari raya bukan lesen untuk kita lari dari normaliti seorang manusia islam, berhati-hati dan berhemah di jalan raya selain mengurangkan 'kebangangan' dijalan raya yang boleh menyebabkan kemalangan. Bangang sendiri, sakit sendiri tak mengapa, bangang anda sakit orang lain itu durjana.

Anda fikir anda tahu Petanda Hari Raya Aidilfitri Sudah Dekat ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.


Catat Ulasan

0 Ulasan