Header Ads

Makan Ikan Serkut Bakar Sambal Di Ikan Bakar Terapung Fort Supai Sungai Linggi Melaka


"Ikan bakar Terapung Fort Supai"

Bukan kali pertama penulis dan isteri menikmati hidangan ikan bakar secara terapung. Tidak terapung secara lahiriah namun terapung dalam erti kata berada di awangan di atas permukaan air. Jika ingin melihat versi makan terapung bolehlah gunakan tool 'clone stamp' atau 'healing tool' pada aplikasi photoshop.


Restoran Ikan Bakar Terapung Fort Supai Sungai Linggi Melaka
Restoran Ikan Bakar Terapung Fort Supai
Port Dickson banyak kedai ikan bakar yang menggunakan konsep terapung, namun kali ini agak unik sedikit. Selain dari terapung tempat makan ikan bakar kali ini bersambung dengan satu kubu yang penuh sejarah, sejarah yang wujud di muara Sungai Linggi ketika pertempuran antara tentera Belanda dan Bugis yang merebut kawasan muara sungai yang menjadi pelabuhan bijih timah ketika itu. Lupakan kisah lama, kembali ke zaman sekarang.


Ikan Bakar Terapung.

Konsep restoran ikan bakar terapung yang dipasak oleh beberapa tiang konkrit yang menyokong sebuah restoran yang menu utamanya adalah ikan bakar. Penulis menggunakan aplikasi Waze untuk mencari restoran yang popular ini, namun telah diberikan laluan yang salah, akan tetapi itu tidak menjadi masalah untuk mendapatkan hidangan ikan bakar hasil laut muara Sungai Linggi yang menjadi sempadan negeri Sembilan dan Melaka ini. Sebagaimana yang telah di ceritakan mengenai pengalaman 'honeymoon' di Umang-Umang Chalet



Pada malamnya, penulis dan isteri ingin mencuba ikan bakar pula alang-alang sudah berada dekat dengan Sungai Linggi. Memandangkan waze sudah mengkhianati kami dengan memberikan laluan menuju ke sebuah villa usang maka kami mencari haluan ke Ikan Bakar Fort Supai sendiri yang mana hanya beberapa meter dari LKIM Sungai Linggi, dari LKIM tersebut masuk ke simpang kiri dan terdapat satu pintu gerbang yang bertulis 'Ikan Bakar Fort Supai'.


Pintu gerbang sebagai pintu masuk sahaja, restoran nun jauh lebih kurang 300m di hadapan yang memerlukan pengunjung merentasi satu laluan untuk ke sana dengan dua buah tempat rehat. Lebih tepat mungkin tempat penduduk tempatan memancing. Dilihat terdapat satu tandas awam yang mungkin baharu dibina untuk kemudahan pengunjung mengosongkan sedikit 'tangki' perut untuk ikan bakar pula.


Titian Menuju Restoran

Restoran Terapung Dalam Air

Pelantar Ruang Makan
Restoran yang berupa pelantar di dalam air ini dimulakan dengan kawasan untuk duduk dan makan, kawasan menjamu selera. Bahagian masakan dijalankan adalah di bangunan seberang sana yang turut menempatkan ruang makan, tandas dan tempat solat. Restoran yang dibuka lewat petang sehingga larut malam dihiasi lampu hiasan bewarna-warni disekeliling pelantar yang mungkin menambahkan suasana romantik menjamu ikan bakar.

Penulis telah memilih sendiri ikan yang akan terpilih untuk disantap pada malam tersebut. Jika biarkan pihak restoran pilihkan takut-takut melebihi 'bajet' makan malam untuk malam itu.

Di bangunan sana pengunjung boleh memilih untuk mendapatkan ikan dengan saiz tertentu, pada malam tersebut terdapat ikan siakap, ikan serkut dan ikan jenahak sahaja. Bajet untuk dua orang sahaja, ikan siakap mungkin kurang sesuai kerana agak besar. Penulis memilih ikan serkut memandangkan ikan ini ada saiz yang agak cukup untuk dua orang. Ini adalah pertama kali penulis mengetahui ada ikan bernama ikan serkut, kata pelayan tersebut, ia bukan 'kawan-kawan' siakap atau jenahak tetapi ikan laut.

Ikan Serkut Bakar Sambal.


Ikan Serkut Bakar

Sambal Ikan Bakar yang Mengiurkan
Ikan bakar dengan menu tersebut ditempah sekali dengan nasi putih, tom yam, dan sotong celup tepung sebagai peneman menu utama ikan serkut bakar sambal. Ikan serkut bakar tidak jauh rasanya dengan ikan jenahak atau siakap, mungkin ikan ini sesuai juga dalam kategori bakar. Manis dan tidak hanyir sama seperti ikan jenahak dan siakap, warnanya juga agak sama.

Ditambah dengan sambal merah dan sambal kicap enak sekali rasanya apabila dicampur sekali dalam sudu dan disuap ke mulut.


Tom Yam Campur
 Penulis bukanlah peminat dengan tom yam di kedai ini memandangkan penulis selalu membasahkan anak tekak dengan tom yam yang melekat dan pedas namun tetap sedap dijadikan 'pelincir' ketika menyuap nasi, masih ada rasa tom yam dan kepedasannya. Lebih meriah apabila keranggupan tepung diadun dengan telur yang membaluti sotong segar yang baharu tiba dari Kuala Linggi. 


Sotong Celup Tepung
Biarkan segala makanan ini dilincirkan ke dalam tangki perut dengan segelas neslo ais untuk penulis dan limau ais untuk isteri penulis.


Neslo Ais dan Limau Ais
Harga Ikan Bakar.

Hidangan Dua Orang Makan
Sudah kenyang, tibalah masa untuk bayaran. Semua hidangan termasuk limau ais dan neslo ais berharga RM78. Dengan mengambil kira harga untuk 100gram ikan serkut adalah RM5. Penulis mengandaikan berat ikan diatas penimbang adalah sekitar 750g-1.2kg. Pastikan anda melihat sendiri skala penimbang, kesilapan penulis dalam meneliti hasil timbangan ikan serkut terbabit. Siakap dan jenahak juga 100gram berharga RM5.

Sekali sekala mungkin boleh namun jika hari-hari dengan harga berkenaan boleh rabak segala kantung. Namun boleh dikatakan boleh tahan rasanya  dan juga popularitinya.

Tips: Mungkin ini sebahagian dari khidmat masyarakat untuk mereka yang membawa anak kecil yang aktif dan hyperaktif. Titian dan pelantar ruang makan restoran ini boleh memuatkan badan seorang kanak-kanak berumur 4 tahun dan ke bawah secara puratanya, awasi anak anda supaya tidak terlolos dari hadangan yang kurang memberi keselamatan kepada kanak-kanak atau dewasa yang berbadan kecil


Si Hitam (Bukan Nama Sebenar) Peneman Anda
Pengalaman makan ikan bakar sambil muka disapa dengan bayu darat (malam) yang menuju ke laut selain dari melihat beberapa kelibat ikan bermain di bawah mungkin menjadikan selera anda semakin bertambah.

Anda fikir anda tahu Makan Ikan Serkut Bakar Sambal Di Ikan Bakar Fort Supai Sungai Linggi Melaka ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.