Kenali Ikan Laga Liar Betta Imbellis (Karin) Dari Pengalaman Zaman Kanak-Kanak


"Karin Si Laga"

Budak-budak zaman 90-an sentiasa mempunyai ideologi mengenai karin dan sepilai. Dua falsafah definisi dua jenis ikan hiasan ini menjadi perdebatan hangat meskipun sedang menunggu giliran mengaji Quran di rumah ustaz.


Ikan Laga Betta Imbellis Kampung Liar
Ikan Laga Betta Imbellis

Karin dan sepilai, dua jenis ikan hiasan yang begitu popular ketika zaman kanak-kanak manusia pada ketika itu belum di jajah oleh tablet mahupun smartphone. Tanya kanak-kanak sekarang apa itu ikan laga, ikan gapi pun belum tentu kenal, mahu ternganga bukaan mulut mereka. 


Menangkap, membela dan bermain dengan ikan laga merupakan kenangan yang sukar dibuang dalam minda. Hobi yang menguji fizikal dan minda kanak-kanak zaman itu. Karin atau sekila menjadi nama lain dalam masyarakat pantai timur.

Habitat Asal Ikan Laga Imbellis

Ikan laga biasanya suka akan kawasan berair yang gelap, sunyi dan 'bersepah'. Kawasan terbaik untuk menangkap ikan laga adalah kawasan parit, baruh, tali air yang cetek penuh dengan reba dan warna airnya kehitaman. Cara mudah untuk mengesan kehadiran ikan laga adalah tompokan buih (foam) putih kekuningan dengan kuantiti yang sedikit, namun jangan tersalah buih kerana kuantiti banyak mungkin buih dari ikan sepat ataupun lagi mengharukan adalah buih katak yang sedang bertelur. 

Ikan laga yang diceritakan ini adalah ikan laga liar, bukan sebagaimana yang terdapat di kedai-kedai ikan dan akuarium sekarang, ikan laga (pelaga) hiasan, crown-tail atau half-moon. Ikan laga liar ini dalam bahasa saintisnya adalah 'betta imbellis'. Ikan laga adalah keturunan 'betta' namun dalam keluarga imbellis, jenis liar. Biru, merah dan hijau berlatarbelakangkan badan bewarna hijau merupakan karakter ikan laga liar.

Ikan Laga Liar yang Garang

Amat garang apabila di adu, di zaman tidak tahu apa-apa seorang kanak-kanak, meletakkan dua ikan karin (laga) dalam satu besen untuk beradu (berlaga) merupakan aktiviti sampingan belaan, siapa yang terhandal. Lagi gelap warna, lagi garang sifat ikan karin. Meletakkan cermin berhadapan dengan ikan ini antara teknik untuk melihat kecantikan warnanya.

Makanan Ikan Laga Imbellis

Diet yang biasa diberikan bukan pellet kedai, jentik-jentik dan cacing kecil menjadi santapan ikan karin kampung. Zaman ini mana lagi kenal akan bbs atau microworm yang dijual di kedai-kedai akuarium. Bagi mendapatkan warna yang 'striking' kombinasi merah-biru, ikan laga ini akan ditempatkan di dalam tanah. Dibela di dalam botol sos, kicap atau air botol 80 sen dan dikambus separuh ke dalam tanah di bawah rumah. Muncung botol ditutup dengan plastik yang ditebuk, ditutup, risau akan 'dikail' cicak untuk santapan.

Cara Menangkap Ikan Laga Imbellis

Zaman dahulu, kawasan padi atau baruh masih lagi banyak sebelum ditimbus untuk projek perumahan atau industri untuk zaman sekarang. Cara menangkap ikan karin atau laga ini 100% menggunakan cara tradisional. 

Menyauk

Tangguk, salah satunya, namun kemahiran tertentu diperlukan jika menggunakan teknik ini. Memerlukan ikan laga yang sedang 'berehat' di rumahnya ketika menyauk dengan tangguk, atau sauk. Sauk berskala kecil, selalunya menyebabkan belakang badan berbirat kerana jenuh ibu di dapur mencari 'penapis' untuk menapis kelapa dibuat santan kerana di'pinjam' si anak untuk menangkap ikan karin.

Sauk betul-betul kawasan berbuih yang diyakini milik ikan betta imbellis. Jika tersilap langkah mungkin anak berudu menjadi belaan.

Perangkap Seperti Tukun Ikan

Selain tangguk, cara yang biasa penulis lakukan, jadi menteri perumahan kepada ikan laga. Jadikan diri seorang kontraktor perumahan ikan laga dengan menyediakan rumah sementara ikan karin. Tin susu, botol klorox dikerat kepala, atau tupperware mampu dijadikan 'perangkap'.

Tinggalkan benda-benda sebegini di tepi-tepi parit, baruh dengan izin Tuhan ikan laga liar akan bersarang. Ikan karin merupakan ikan yang agak sistematik, membuat buih untuk simpanan telur dan mendapatkan 'rumah' untuk berkeluarga dan mengawan. Satu lagi benda yang boleh dianggap banglo kepada ikan karin (laga) ini adalah 'woh nyor kote'. Bukan mencarut tetapi begitulah namanya.

Woh nyor kote adalah buah kelapa yang sudah ditebuk tupai, yang luruh dikala angin monsoon timur laut menyapa. Kelapa yang berlubang ini sememangnya 'penthouse' bagi ikan karin, mesti dapat. Namun, hati-hati mungkin reptilian berbisa juga menyukainya.

Kaedah Budak Kampung Tangkap Ikan

Pengalaman ini sukar ditemui pada zaman sekarang, bela ikan laga, kedai akuarium pun banyak. Pilih sahaja, dari RM 5 hingga mencapai ratusan ringgit pun dapat jika 'breed' terbaik. Kebiasaannya Rm 10 untuk seekor ikan laga adalah harga 'standard'.

Diancam Kepupusan Spesis Betta Liar

Kawasan asal ikan karin (laga) ini sudah hampir tiada, parit, baruh, dan lopak air semulajadi sudah 'pupus'. Mungkin suatu hari ikan laga keturunan "Betta Imbellis" sukar untuk ditemui. Ditambah dengan begitu banyak 'breed' ikan laga hiasan versi 'crown-tail' atau 'half-moon' yang banyak.

Namun ikan karin liar, tiada jenis betta lain yang mampu menggugat nilai kenangan terhadap memori zaman kanak-kanak.

Maksud "Betta" Pada Ikan Laga

'Betta' itu sendiri merupakan maksud perkataan melayu jawa dari perkataan 'Betah' yang membawa maksud 'kental' atau tahan. 'Imbellis' bermaksud 'ketenangan' dalam bahasa latin.

Mungkin ada yang tidak tahu akan terdapat beberapa jenis lagi ikan betta atau ikan laga liar yang terdapat di dunia. Boleh lihat pautan di bawah;



Anda fikir anda tahu Kenali Ikan Laga Liar Betta Imbellis (Karin) Dari Pengalaman Zaman Kanak-Kanak ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.


Catat Ulasan

0 Ulasan