Header Ads

Risiko dan Masalah Beli Rumah atau Tanah Geran Bersama (Lot Lidi)


"Risiko Lot Geran Bersama"

Tanah dan rumah dua entiti dalam kategori 'property' yang cukup besar nilainya. Semakin hari semakin ramai manusia dan semakin memerlukan tempat tinggal. Kekurangan prospek mencari tempat tinggal menjadikan permintaan melebihi sumber, maka saban tahun hartanah meningkat naik.


Risiko dan Masalah Tanah Rumah Geran Bersama
Risiko dan Masalah Tanah Rumah Geran Bersama
Di kawasan-kawasan agak maju dan giat membangun sukar untuk mendapatkan harga yang mampu milik.


Salah satu alternatif untuk memiliki rumah idaman selain dari membeli tanah lot adalah mendapatkan rumah yang didirikan di atas tanah lot yang dikongsi dengan banyak nama, atau juga sinonim dengan nama 'lot lidi'.

Harga Rumah dan Tanah Lebih Murah

Cukup murah sebenarnya harga rumah di atas tanah lot lidi, sebagai contoh rumah 'landed' perumahan biasa mencecah RM300k, rumah 'landed' di atas lot lidi mungkin berharga RM150k sahaja.

Cukup berbeza harganya.

Namun, dengan harga sebegini terdapat beberapa risiko yang perlu 'dibayar' yang memungkinkan terjadinya masalah.

Di bawah adalah antara isi penting dan risiko yang perlu pembeli kenali dan fikirkan sebelum memiliki rumah di atas nama lot kongsi atau lot lidi.

Apa Itu Lot Lidi atau Lot Geran Bersama ?

Lot Lidi :

Sebidang tanah yang mempunyai geran yang sah, tetapi kemudiannya dipecah-pecahkan lot kecil untuk dijual semula dengan tujuan untuk membina rumah.

Pemegang Amanah :

Salah seorang yang melantik diri sendiri atau dilantik oleh pembeli-pembeli lot lidi untuk memegang amanah bagi semua pembeli dan hanya namanya seorang yang didaftarkan di dalam geran. 

Surat Pemegang Amanah : 

Surat berupa perjanjian di antara pembeli-pembeli dengan Pemegang Amanah yang menyatakan bahawa Pemegang Amanah akan memegang hak di atas tanah berkenaan. Ia juga dipanggil Surat Ikatan Amanah.

Pusaka :

Prosedur pembahagian tanah kepada waris selepas berlakunya kematian pemilik tanah.

Risiko Beli Tanah Lot Bangunan Tiada Geran Individu (Lot Lidi / Geran Kongsi)

1. Tidak Boleh Dipindah Milik Kepada Pembeli

Sekiranya salah seorang pembeli lot lidi ingin menjual semula lotnya kepada orang lain, tiada prosedur undang-undang yang sah boleh dilaksanakan untuk urusan jual beli berkenaan melainkan mereka terpaksa membuat Surat Pemegang Amanah baru yang memerlukan Pemegang Amanah sendiri untuk melaksanakannya. 

Sekiranya Pemegang Amanah itu enggan untuk menukar nama atas apa-apa sebab (perbalahan, tiada masa, malas, nyanyuk, sudah meninggal dunia atau sebagainya) maka proses pertukaran nama itu tidak boleh berlaku.

2. Nama Pembeli Tiada Dalam Geran

Dokumen yang menunjukkan anda ialah seorang pemilik di dalam lot lidi hanyalah dengan melalui Surat Pemegang Amanah sahaja. Hanya seorang yang akan menjadi Pemegang Amanah bagi kesemua pemilik-pemilik lot lidi dan nama Pemegang Amanah itu sahaja yang akan didaftarkan di dalam geran.

Sebagai contoh jika ada 12 orang pembeli lot lidi di dalam satu kawasan, nama Pemegang Amanah akan tertera di dalam geran sebagai mewakili 11 pembeli yang lain. Pemegang Amanah ini boleh jadi terdiri daripada salah seorang pembeli lot lidi atau boleh jadi juga pemilik asal tanah berkenaan. 

Hakmilik adalah punca kuasa yang sangat penting di dalam apa-apa urusan tanah. Jika nama tiada di dalam hakmilik, mereka tidak layak untuk berurusan apa-apa mengenai tanah berkenaan walaupun diikat dengan Surat Pemegang Amanah.

3. Tidak Tahu Kedudukan Sebenar Tanah

4. Tidak Boleh Bina Rumah Secara Sah Di Atasnya

Lot lidi lazimnya ialah lot yang bersyarat pertanian. Membina rumah di atas lot bersyarat pertanian adalah kesalahan serius seperti yang termaktub di dalam Seksyen 125 Kanun Tanah Negara. Anda akan dikenakan denda atau tanah anda boleh dirampas.

5. Tidak Boleh Digadaikan Kepada Bank Untuk Mendapatkan Pinjaman

6. Tidak Boleh Diwariskan Kepada Waris Apabila Pembeli Meninggal Dunia

Ini adalah risiko terbesar yang perlu dihadapi oleh pemilik-pemilik lot lidi. Jika Pemegang Amanah meninggal dunia, pembeli-pembeli lot lidi bolehlah diibaratkan seperti layang-layang terputus tali. Memang benar mereka boleh melantik Pemegang Amanah yang baru, tetapi prosedurnya bukanlah semudah seperti yang disangka. 

Anda akan berhadapan dengan ketidaktentuan, prosedur pesaka yang rumit, masa yang lama, kos yang tinggi dan kemungkinan berlaku perbalahan yang berpanjangan.

7. Tanah Masih Menjadi Hak Pemilik Asal

8. Tidak Layak Dapat Pampasan Jika Tanah Diambil Oleh Kerajaan

Jika Kerajaan berhasrat untuk membuat pengambilan di atas tanah berkenaan kerana sebab-sebab tertentu, pembeli lot tidak mempunyai apa-apa hak untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan. 

Hanya Pemegang Amanah yang akan dipanggil untuk sesi pendengaran malah wang pampasan akan diberikan kepada Pemegang Amanah sahaja. Pembeli-pembeli lot perlu berurusan dengan Pemegang Amanah untuk membahagi-bahagikan wang pampasan.

9. Tidak Boleh Dipindahmilik Kepada Waris

Oleh kerana nama pemilik-pemilik lot lidi tidak didaftarkan di dalam geran, waris-waris si mati tidak boleh memulakan prosedur pesaka kerana secara teorinya tanah berkenaan adalah milik Pemegang Amanah.

10. Terdedah Kepada Unsur-Unsur Penipuan Dan Perbalahan




Jangan Terpedaya Dengan Kata-Kata Penjual Lot Lidi Seperti :

1. Akan membuat tukar syarat atas tanah itu selepas semua lot habis dijual. 
2. Akan mengemukakan pelan pembangunan kepada pihak berkuasa. 
3. Akan pecahkan lot secara betul menggunakan juruukur berlesen pada masa akan datang. 
4. Sempadan lot lidi akan ditanam dengan batu sempadan. 
5. Nama akan ditukar secara automatik jika Pemegang Amanah meninggal dunia. 
6. Tidak akan ada masalah kerana ada Surat Pemegang Amanah. 
7. Lot lidi adalah sah dari segi undang-undang.

Senang Untuk Mewariskan Hartanah 

Adalah dikhuatiri kediaman idaman anda yang sepatutnya memberi keselesaan kepada keluarga dan boleh diwariskan kepada anak-anak akan berakhir dengan kerugian yang besar, perbalahan keluarga dan penyesalan di kemudian hari.

Banyak lagi risiko yang tidak dinyatakan di sini. Justeru itu, Pentadbir-Pentadbir Tanah menasihatkan supaya mengelakkan diri dari terlibat dengan pembelian lot lidi.

Biar Mahal Tetapi Berbaloi 

Biarlah membeli tanah atau rumah yang mahal sedikit asalkan mengikut lunas undang-undang kerana ia akan membantu sekiranya terdapat masalah-masalah pada masa akan datang. 

KENYATAAN PENTING : Penerangan di atas adalah sangat ringkas bagi memudahkan kefahaman kepada rakyat yang tidak mengetahui prosedur undang-undang tanah. 

Terdapat prosedur-prosedur teknikal yang tidak dinyatakan dan anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan dari Pejabat Tanah berkaitan.


Sumber: Facebook Pejabat Daerah Dan Tanah Kerian, 25 May 2017

Anda fikir anda tahu Risiko dan Masalah Beli Rumah atau Tanah Geran Bersama (Lot Lidi) ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.