Cara Solat di Angkasa lepas


"Cara Solat Di Angkasa Lepas"

Alam semesta Allah ini luas, solat bukan hanya wajib dilakukan di muka bumi sahaja. Kejayaan Dr. Sheikh Muzafar Shukor menjadi rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas merupakan suatu titik tolak bagi masyarakat islam dan muslim untuk beribadat bukan hanya di muka bumi tetapi di angkasa lepas. 


Angkasawan Malaysia Solat Di ISS


Untuk bersolat kita wajib menghala ke arah kiblat, kiblat bagi umat islam adalah ka'abah, ka'abah merupakan 'reference' arah mana umah islam untuk bersolat. 


Jangan ada yang berkata kita menyembah ka'abah tetapi kita menggunakan ka'abah sebagai 'reference' arah jika di dalam penerbangan VHF Omni Directional Radio Range (VOR) digunakan sebagai 'guide' kepada navigator untuk menjumpai lapangan terbang.

Sukar Mencari Kiblat Di Angkasa


Sukar untuk angkasawan menjadikan ka'abah sebagai kiblat.

Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(Jakim), Anan C Mohd berkata, ibadah adalah satu ketetapan ke atas setiap umat Islam yang
merentasi keadaan, masa dan tempat di mana Islam memberi keutamaan kepada lima prinsip asas iaitu penjagaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda dalam menjamin kemakmuran hidup umatnya.

Dalam keadaan yang sukar seperti berada di angkasa lepas, Islam memberi kemudahan (rukhsah) bagi memastikan ibadah dapat terus dilaksana.

Garis Panduan Solat Di Angkasa Dari Jakim

Jadi apabila Malaysia memutuskan menghantar angkasawan negara ke ISS, Jakim dengan kerjasama Agensi Angkasa Nasional(Angkasa) berasa bertanggungjawab menyediakan garis panduan untuk angkasawan beribadah sepanjang misinya bermula dari pelancarannya dengan Soyuz FG hinggalah ia kembali ke bumi.




Merungkaikan segala persoalan mengenai cara beribadah di angkasa lepas, sudah tentu cara pelaksanaan ibadah tidak sama kerana perbezaan besar antara bumi dan angkasa lepas.

“Garis panduan ini dibuat dengan teliti di mana ia mengambil kira pandangan semua tokoh ulama, pengalaman sebenar tokoh angkasawan dan pakar sains angkasa pada satu seminar khas yang diadakan di Hotel Equatorial Bangi beberapa bulan lalu.

“Pandangan panel kajian syariah dan jawatankuasa fatwa kebangsaan diperoleh, manakala untuk mendapatkan pandangan suasana sebenar, kerjasama angkasawan yang pernah ke angkasa lepas dan ISS banyak membantu dalam menyediakan garis
panduan itu,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.

Hasilnya Jakim menerbitkan sebuah buku berjudul ‘Pelaksanaan Ibadah Di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)’ yang memberi perincian mengenai cara beristinjak, mengangkat hadas kecil dan hadas besar, menentukan waktu solat, menentukan kiblat, menentukan waktu puasa dan menguruskan jenazah.

Rukhsah Ketika Berada Di Angkasa Lepas

Rukhsah juga mengambil kira tahap keselamatan dalam kapal angkasa dan ISS yang tinggi dan keperluan pada masa itu contohnya tidak ada debu untuk bertayamum dan tidak ada air untuk mengangkat hadas kecil dan (berwuduk) dan hadas besar; dan menyucikan diri daripada hadas kecil dan besar.

Anan berkata, garis panduan hasil Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa mencatat sejarah kerana buat kali pertama di dunia, cara beribadah di angkasa lepas didokumentasikan.

Mengulas arah solat di angkasa lepas, katanya, antara syarat sah solat ialah mesti menghadap Kaabah. Bagaimanapun garis panduan memberi beberapa pilihan lain,iaitu unjuran Kaabah, bumi dan
mana-mana arah.

"Mengikut tertib, solat mesti menghadap Kaabah. Jika tiada pilihan lain, angkasawan boleh menghadap mana-mana arah. Paling penting ialah solat mesti dilakukan," katanya.

Kaedah Menentukan Kiblat Di Angkasa

Anan berkata, semua pihak tahu bahawa kapal angkasa mengelilingi bumi atau mengorbit bumi pada setiap 90 minit sebanyak 16 kali sehari. Jika 16 peristiwa siang dan malam berlaku sehari, jumlah solat adalah sebanyak 80 waktu.

"Dalam satu pusingan, waktu siang adalah 45 minit dan malam juga 45 minit. Tempoh itu perlu dibahagikan kepada lima waktu solat. Jika tidak diikuti dengan
betul, waktu subuh hanya seminit," katanya.

Bagi menyelesaikan persoalan ini, katanya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa solat di ISS dilakukan sama seperti di bumi, iaitu lima kali.

Alasan? Mengambil Kutub Utara sebagai contoh, katanya, jika mengikut keadaan di situ yang mengalami peristiwa siang selama enam bulan dan malam selama
enam bulan, umat Islam hanya bersolat lima kali setahun.

Merujuk kepada institusi fekah Islam di Makkah, Rabitah al-Alamiyah al-Islami, katanya waktu solat di Kutub Utara diputuskan berdasarkan waktu kawasan paling hampir yang siang dan malam adalah dalam keadaan biasa.

Waktu Solat Di International Space Station (ISS)

Kaedah sama digunakan untuk menetapkan waktu solat di ISS, iaitu berdasarkan tempat paling hampir, tempat pelancaran kapal angkasa di Baikonur, Kazakhstan.

Dari segi cara solat, Anan memberitahu antara cara yang boleh dilakukan ialah mengikat tubuh pada bahagian tertentu kapal angkasa.

"Ini bukan luar biasa kerana angkasawan mempunyai tali pinggang yang diikat kepada kapal angkasa apabila tidak mahu terapung. Dalam keadaan statik itu,
angkasawan boleh bersolat," katanya.

Masalah Berwuduk

Masalah air terhad untuk berwuduk diselesaikan dengan bertayamum. Bagaimanapun, katanya tanah atau debu mustahil dibawa ke dalam kapal angkasa.

“Sehubungan itu, angkasawan dibolehkan menepuk dinding, kerusi atau cermin dalam kapal angkasa. Walaupun tiada debu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan cara
itu kerana tiada pilihan," katanya.

Masalah Istinjak

Dalam isu berkaitan, katanya, istinjak untuk membersihkan hadas besar atau kecil dilakukan dengan menggunakan kertas tisu kering yang dibekalkan di ISS.

Sementara itu, jika jadual pelancaran kapal angkasa tidak berubah, iaitu 10 Oktober, satu lagi ibadah yang bakal dilakukan angkasawan negara ialah berpuasa.

Anan berkata, Jakim menggalakkan angkasawan negara berpuasa di ISS kerana pengalaman ini sukar dirasai pada masa depan dan pada masa sama, mengetahui perbezaan berbanding berpuasa di bumi.

“Jika memberatkan dan menimbulkan masalah, angkasawan seperti musafir boleh meninggalkan puasa, tetapi perlu menggantikan semula.

Waktu Sahur, Berbuka Di Angkasa Lepas

Seperti solat, katanya, waktu berbuka, bersahur dan berhari raya adalah mengikut waktu tempat kapal angkasa berlepas di Baikonur, Kazakhstan. 

anda fikir anda tahu Cara Solat di Angkasa lepas ?

anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum....

Catat Ulasan

0 Ulasan