Header Ads

Tips Menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)


"Tips LPT2"

Lebuhraya Pantai Timur 2 yang siap sepenuhnya dan beroperasi pada 2014. Lebuhraya Pantai Timur Satu (1) LPT1 yang menghubungkan Lembah Klang dan Kuantan Pahang telah berjasa kepada pemandu sejak 2004. Sepuluh tahun kemudian LPT2 dioperasikan sebagai sambungan menghubungkan pantai barat dan pantai timur. LPT2 menjadi penghubung laluan dari Kuantan ke Kuala Terengganu bagi alternatif lain kepada jalan pantai dan laluan Jerangau-Kuala Berang yang kecil dan sudah tidak begitu relevan jika musim perayaan atau cuti.


Tapir Di LPT2
Pengalaman Di LPT2
Itu antara suai kenal kita dengan LPT2. Penulis boleh dikatakan sudah 'bookmark' LPT2 sebagai alternatif utama untuk pulang ke Kelantan berbanding jalan Bentong-Kota Bharu yang agak berbahaya dan sesak apabila beratus-ratus kenderaan keluar menuju ke pantai timur Malaysia.


Beberapa pengalaman dan tips boleh dikongsikan penulis mengenai sepanjang melalui LPT2 yang memiliki jarak 182.6km.

1. Laluan 'Bosan'

Sudah banyak kes kemalangan maut atau tidak maut yang disaksikan divider, tar dan flyover sepanjang LPT2. Salah satu punca adalah laluannya yang boleh dikategorikan bosan kerana sepanjang perjalanan tiada sebarang hiburan yang boleh menyegarkan mata selain dari melihat benda yang sama. Jalan raya, divider, pokok kelapa sawit, itu antara 3 benda yang akan kita alami sepanjang jalan sehingga 'exit' nanti. 

Bukti terbaik untuk menyokong sebab ini adalah jika kita mendengar ceramah atau khutbah yang penceramahnya begitu membosankan tidak seperti Ustaz Azhar Idrus, semestinya suara yang mendayu-dayu membuatkan anda tertindur. Begitu juga dengan laluan LPT2 yang mampu membuai anda kerana mata dan otak gagal menemui imej baharu melainkan benda-benda yang disebutkan tadi.

Bawak-bawaklah bersembang dan setiap sejam berhenti sambil menghirup redbull atau livita, itu tips pertama. Mungkin boleh kembalikan kesegaran dengan beberapa langkah taichi di RNR tertentu.

2. Tiada Stesen Minyak

Tidak kira petrol, atau diesel apalagi kerosin. Tiada sebarang stesen minyak yang akan ditemui tidak kira Petronas, Shell, Petron atau Caltex apalagi BHP dan Buraq Oil. Ok, penulis cuba bergurau, memang ada satu stesen minyak namun satu sahaja dari sepanjang menghampiri 200km perjalanan LPT2 ini. Memang ada stesen minyak, namun stesen minyak mini dari Petron di RNR Kijal.

Stesen minyak mini ini wujudnya ia boleh dikatakan macam tidak wujud. Memang mini, hanya dua pam yang dipasang di dua arah RNR Kijal. Jika musim perayaan atau trafik yang memuncak di LPT2, hadap sahajalah 'jammed' nya sehingga ke lorong masuk ke RNR.

Tips yang boleh penulis berikan untuk bahagian ini adalah 'exit' sahaja di permulaan LPT2, kebiasaan penulis akan 'exit' di 'Exit Kuantan' dan mengisi minyak di BHP Bukit Goh yang tidak jauh dari Plaza Tol. Namun, jika terdesak anda boleh 'exit' di mana-mana 'exit' yang ada dan mungkin memerlukan anda mencarinya sendiri.
Atau anda boleh juga sediakan satu tong minyak 'emergency'.

3. Jalan Bonggol Beralun

Dua buah LPT ini memang terkenal dengan jalan beralun, LPT1 atau LPT2. Namun LPT2 kekerapan beralunnya jika diukur dengan skala Ritchter memang banyak berbanding LPT1. Jika kereta atau kenderaan anda bukanlah kereta yang memiliki sistem keselamatan yang maksima mungkin ini salah satu penyebab kemalangan. Tayar pecah atau pancit juga boleh berlaku.

Kebanyakkan bonggol dan beralun dikesan di permulaan dan pengakhiran sesebuah jambatan. Terdapat lebih dari lima buah jambatan di LPT2. Jika tersalah bawaan mungkin menjadi musibah.

Selain kerana jambatan terdapat juga alunan jalan yang disebabkan turapan tar yang tidak sempurna selain dari mendapan dan rekahan pada permukaan jalan. Tips untuk bahagian ini, perlahankan kenderaan, bukan seperti siput tetapi dengan tidak melebihi had laju. Faham-faham sahajalah dengan bitumen yang kurang kualitinya, berapa banyak sangatlah 'friction' yang mampu diterima dengan getah tayar anda.

4. Micro Sleep (Bisikan Syaitan)

Wow, ganas bunyinya, iaitu bisikan syaitan. Fakta ini boleh disokong dengan fakta pertama iaitu laluan yang bosan. Sejujurnya sudah beberapa kali penulis hampir terbabas ke kiri jalan. Mudah untuk menerima fenomena micro sleep di LPT2. Salah satu kesannya adalah tanpa sebarang rasa kita tidak akan menyedari bahawa sudah melebihi had laju.

5. Haiwan Liar Melintas

LPT2 yang baharu sahaja beroperasi semestinya masih baharu bagi hidupan yang asalnya tinggal disekitar. Hutan dan ladang adalah asal usul LPT2.

Semestinya, haiwan-haiwan ini masih belum biasa dengan kehadiran 'alien' iaitu kita sebagai pengguna LPT2. Haiwan-haiwan ini tidak menerapkan ideologi keselamatan diri memandangkan masih baharu untuk adaptasi dengan kenderaan yang lalu lalang.

Banyak kes melibatkan haiwan liar, seperti anjing melintas dan harimau dilanggar pun sudah ada kesnya. Namun, jika lembu yang melintas dan lembu tersebut ada tuannya, tuannya itulah adalah lembu sebenarnya kerana melepaskan tuan-tuan eh lembu-lembu mereka tanpa pengawasan. Harimau belang dan tapir sudah berjaya ditemui disini.

Tips disini mudah sahaja, sentiasa waspada dan jalan melebihi had laju yang ditetapkan. 

LPT2 sudah banyak mengorbankan nyawa, kebanyakkan adalah faktor kecuaian pemandu dan beberapa kes kerana faktor jalan dan lintasan haiwan.

LPT2 boleh dikategorikan sebagai lebuhraya yang sunyi dan membosankan. RNRnya juga tidaklah semewah RNR di PLUS Highway. Mungkin beberapa pengalaman dan cadangan ini mampu memberikan bakal atau pengguna LPT2 yang baharu sebagai panduan. Minyak adalah 'crucial', rancanglah dan fahami karakter enjin anda, dalam bab yang lain adalah faktor 'alertness' dan waspada sendiri.

Jika artikel ini sudah tidak relevan untuk keadaan semasa LPT2, bermakna pihak yang 'menjaga' duit kutipan tol dan penyelenggaraan LPT2 sudah berhasil.

Informasi Pengguna

Jika anda ingin keluar ke Exit Gemuruh Terengganu dari Lebuhraya Karak pastikan touch n go anda mencukupi dan bernilai RM60 dan ke atas itu sebagai persediaan.

Anda fikir anda tahu Tips Pengalaman Menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.