Arang Hilangkan Bau Busuk dan Bau Hapak dengan Konsep Kimia


"Arang Hilang Bau"

Malang tidak berbau. Namun adakah kita nampak akan bau ? Ada yang boleh nampak dan ada yang tidak boleh nampak.


Bagaimana Arang Boleh Hilangkan Bau Busuk Bau Hapak
Arang Hilangkan Bau Busuk
Kebanyakan bau biasanya yang bersumberkan dari sampah sarap, sisa buangan atau najis disebarkan melalui udara. Berterbangan di udara sehingga memasuki rongga hidung seterusnya dikategorikan oleh otak sebagai satu ancaman. Terus kita menutup hidung atau melarikan diri dari tempat tersebut, jika ia tanggungjawab anda sila selesaikan masalah terbabit contohnya jangan pula larikan diri dan gagal untuk 'flush' najis di tandas awam atau sendiri. Masih belum dibuktikan bau boleh disebarkan terus ke hidung melalui media air atau cecair.


Bau dikesan oleh hidung, tidak kira manusia atau haiwan. Apabila molekul bau busuk biasanya tersebar melalui udara memasuki lubang hidung, molekul ini akan terperangkap oleh mukus yang terdapat dalam hidung dan satu reseptor dinamakan olfactory epithelium oleh pakar sains biologi untuk mengesan sebatian molekul yang diperangkap oleh mukus tadi untuk dikenalpasti.

Sifat molekul tertentu ini akan di proses kepada otak untuk mengkategorikan sebatian molekul yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar ini sebagai sesuatu yang berbau, busuk atau wangi. Bergantung kepada molekul-molekul yang berjaya diperangkap mukus dalam hidung dan ditugaskan kepada reseptor olfactory epithelium untuk memberitahu otak akan bau molekul yang berjaya diperangkap tadi.

Apabila kita sudah mengetahui bahawa bau adalah sebenarnya sebahagian molekul dan bukan wujud secara tiba-tiba di udara meskipun rakan mengeluarkan bau yang tidak berbunyi ketika sama-sama terperangkap di dalam lif maka mesti terdapat cara untuk menghindarkan dan menghilangkan bau. Bau adalah satu molekul fizikal yang berjaya melekat pada olfactory epithelium dalam hidung dan diterjemah otak sebagai busuk atau wangi. Mungkin molekul penyebab bau ini boleh diserap atau disedut memandangkan ia sebenarnya molekul fizikal meskipun dalam keadaan gas yang sukar dilihat mata kasar.

Skatole, merupakan salah satu (dari banyak molekul) dalam najis (feces) yang menjadi punca najis berbau. Secara logiknya, molekul skatole ini telah terperangkap dalam mukus dan diperkenalkan kepada olfactory epithelium untuk otak menterjemahkan bahawa skatole adalah busuk, dan busuk ini adalah najis.

Skatole hanya satu contoh penyebab bau dalam najis, terdapat beberapa sebatian yang menjadi penyebab bau seperti:
  • Acetic acid (vinegar)
  • Butyric Acid (rancid butter)
  • Propionic acid (sweat)
  • Valeric [Pentanoic] acid (smelly cheese)
  • Pyrrole (fishy)
  • Pyridene (fishy)
  • Hydrogen sulfide (rotten eggs)
  • Methyl mercaptane (skunk)
  • Indole (flowery/classic fecal smell)
  • Ammonia 
  • Trimethylamine (fishy/ammonia)
Skatole juga jika dalam istilah sains kimia dikenali sebagai 3-methylindole. C9H9N merupakan 'chemical formula' untuk skatole. Bukti bahawa bau adalah pengenalan wujudnya sebatian C9H9N apabila melalui hidung. Jika bercerita tentang sebatian organik, kita akan sentiasa bertemu dengan formula kimia C-H, gabungan unsur Karbon C dan unsur Hidrogen H.

C-H merupakan dua unsur yang cukup akrab. Terdapat satu istilah diberikan kepada mereka iaitu Carbogen. Kombinasi mereka berdua memang erat. Dalam bahasa para ahli kimia, apabila bersama mereka cukup stabil (stable). Dalam penyebab bau busuk untuk najis iaitu skatole juga terdapat gabungan C-H, C9H9N.

Dari keakraban hubungan C-H inilah yang menjadikan arang digunakan sebagai penghilang bau dan kelembapan udara. Bagi yang masih ingat bahawa setiap atom akan lengkap bilangan elektron apabila memiliki lapan 'biji' elektron.C-H saling melengkapi, berkongsi elektron valens (luaran) untuk menjadi sangat stabil, jika ada yang masih ingat dengan konsep eletron valens ketika sekolah menengah dahulu. Ekstrak arang banyak digunakan dalam nyahbau. Topeng keselamatan yang selalu dipakai para penyelamat atau bomba juga diletakan ekstrak arang di dalam topeng tersebut.

Arang adalah sumber karbon, C. Arang terbentuk dari gabungan banyak atom karbon. Sifat arang adalah 'prosity' dalam istilah sains, dalam bahasa mudah ia memiliki kekuatan ikatan antara zarah yang tidak kuat. Sebagai contoh, ubat pensel picit, atau pensel 2B yang senang sahaja dilepaskan dari rod ke kertas, sebagai bukti bahawa arang cukup mudah dipecahkan atau 'porosity' yang tinggi.

Apalagi arang yang sudah diaktifkan, activated charcoal. Daya serapan untuk menarik molekul lain atau molekul air akan menjadi lebih kuat. Porosity adalah 'ruang kosong' yang terdapat di anatara dua zarah karbon dalam arang. 

Kebanyakan bahan penyebab bau busuk memiliki unsur Hidrogen pada molekulnya. Dengan kehadiran arang (sumber C), arang yang memiliki ruang kosong akan menarik unsur Hidrogen yang berada dalam molekul penyebab bau busuk untuk bersamanya. Biasa molekul busuk ini hadir bersama kelembapan, air. Jika kurang percaya cuba perhatikan, najis atau sisa yang berair atau yang kering memiliki bau yang mampu memutarkan kepala anda, semestinyalah yang berair.

Tugas arang yang memiliki sifat 'poros' (bukan boros) akan menarik unsur hidrogen yang berdekatan dengannya. Sebagai contoh, skatole yang berformula kimia C9H9N apabila sudah diganggu formula kimianya oleh karbon yang poros (arang) sudah tidak akan menjadi C9H9N lagi. Sekaligus menghilangkan sifatnya dan menjadi molekul lain, mungkin. Jika molekul ini balik ke rumah mungkin keluarganya sudah tidak mengenalinya lagi, bukan lagi skatole yang busuk.

Hancing pada air kencing adalah disebabkan oleh sebatian ammonia. Formula kimia bagi ammonia adalah NH3. Kegembiraan Nitrogen dengan Hidrogen mungkin akan berakhir apabila hidrogen yang lebih suka dengan sifat 'poros' karbon dalam arang. Maka apabila arang (karbon) memutuskan ikatan hubungan mesra nitrogen-hidrogen dalam ammonia, perkahwinan mereka tidak lagi sehancing dahulunya.

Begitulah lebih kurang konsep bagaimana bau busuk najis dan hancing air kencing manusia atau haiwan boleh dikurangkan dengan menggunakan arang.

Penulis pernah menjalankan eksperimen ini dengan meletakkan arang yang masih tinggal selepas bbq dan meletakkan bersebelahan dengan bekas buangan sisa pepejal kucing kesayangan, cat litter.
Boleh disimpulkan bahawa kawasan terbabit sudah berbeza keadaan dari asal, kurang bau yang tidak menyenangkan. Itu arang biasa yang dibeli dikedai yang berharga RM6.50 sekampit jika menggunakan arang yang telah diaktifkan (activated coal) mungkin lagi berkesan.
Arang juga sering ditemui dalam 'water filter' aquarium atau penapis air. Beberapa bukti bahawa arang banyak kegunaan selain dari menjadi bahan bakar untuk kita menikmati makanan grill yang cukup enak.

Artikel ini adalah konsep untuk pemahaman biasa sahaja, mungkin tidak sesuai bagi mereka yang sememangnya pakar dalam bidang kimia, apalagi yang menjadikan bidang kaji najis sebagai kerjaya. Pemahaman dari bukan pakar sains kimia sahaja.

Anda fikir anda tahu Konsep Kimia Arang Menghilangkan Bau Busuk dan Bau Hapak ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Catat Ulasan

0 Ulasan