Header Ads

Mendaki Di Hutan Rekreasi Rumah Api Tanjung Tuan (Cape Rachado) Melaka


"Jelajah Taman Rekreasi Tanjung Tuan"

Ini penjelajahan yang tidak ada dalam perancangan penulis dan isteri. Datang ke Port Dickson untuk menikmati keindahan pantai dan selera di Port Dickson. Sampai di Taman Rekreasi Tanjung Tuan ini adalah trip 'add-on', boleh dikatakan sebegitu.


Trekking Ke Rumah Api Tanjung Tuan
Pada hakikatnya, penulis dan isteri sudah melangkaui sempadan negeri lain pula, bukan lagi berada dalam jajahan Negeri Sembilan, akan tetapi sudah termasuk ke dalam negeri Melaka.


Dari Blue Lagoon Port Dickson

Blue lagoon adalah persinggahan yang dirancang, memandangkan kesulitan untuk perkir kenderaan dan 'blue lagoon' yang hanya indah khabar dari rupa, memberikan ruang masa untuk penulis dan isteri mencuba menjelajah Tanjung Tuan pula.


Hutan Rekreasi Tanjung Tuan Melaka
Memandangkan tiada sebarang perancangan untuk datang ke taman, hutan rekreasi sebenarnya, agak janggal apabila berpakaian kasual berbanding pengunjung lain yang berpakaian sukan dan berimejkan trekking.

Trekking Dengan Berpakaian Casual


Dengan jeans dan kemeja dan blouse itu agak tidak sesuai dengan penjelajahan tanpa dirancang ke hutan rekreasi ini. Sejujurnya penulis tersalah erti akan Hutan Simpan Tanjung Tuan dengan Hutan Paya Bakau Tanjung Tuan.


Pintu Masuk Hutan Rekreasi Tanjung Tuan
Untuk sampai ke pintu masuk hutan rekreasi ini mudah sahaja untuk mencarinya kerana ia berada bersebelahan dengan PNB Ilham Resort Port Dickson. Alang-alang ke Blue Lagoon PD boleh singgah menikmati hutan belantara. 

Pengunjung boleh bergambar dengan pintu gerbang yang tertera Hutan Simpan Tanjung Tuan, Melaka sebagai kenangan.

Gerai Makan Sebelum Bermula

Terdapat satu pos pengawal dan terdapat gerai makan serta minuman sebelum  tuan puan memulakan pendakian. Penulis dan isteri masih belum tahu apa yang menarik dengan 

Tanjung Tuan ini, apabila ditanyakan kepada penjaga tiket di pintu masuk baharulah penulis tahu bahawa dipuncak bukit yang akan penulis dan isteri daki nanti terdapat rumah api Tanjung Tuan.

Permulaan Pendakian

Pada awal masuk ke Hutan Simpan ini pengunjung perlu membuat pendakian. Agak memenatkan memandangkan memang mendaki bukit. Dilitupi kanopi pohon yang tinggi dan bertemankan bunyian serangga yang mungkin turut mengalu-alukan kedatangan pengunjung.


Mendaki Dengan Jeans Yeah!
Pendakian adalah dalam keadaan santai kerana laluan untuk ke rumah api ini sudah diturap dengan tar.

Lebih kurang 500 meter juga untuk sampai ke rumah api ini. Beberapa buah lengkok dalam keadaan mendaki dilalui dan terlihat beberapa buah gaung bersebelahan kaki bukit. Memang kurang sesuai jika datang ke sini dengan pakaian selain dari pakaian sukan.

Bunyi bilah 'radar' kedengaran bermakna anda sudah begitu hampir dengan destinasi yang dituju.

Sampai Di Puncak Rumah Api Cape Rachado

Nah! Pendakian berakhir apabila terlihat satu bangunan putih dengan menara dan satu komponen 'remote sensing' seumpama bilah radar yang sedang berpusing. Maka kami berdua berjaya menjejakkan kaki di Rumah Api Tanjung Tuan Melaka yang juga diberi nama Cape Rachado yang menaranya berketinggian 24 meter (79 kaki).


Sampai Di Puncak Tanjung Tuan
Untuk sampai sepenuhnya ke bangunan ini, anda memerlukan menaiki beberapa puluh anak tangga yang telah dibuat khas.

Sesuai untuk Bergambar Kenangan

Pengunjung boleh mendapatkan kenangan dengan mengambil gambar berlatarbelakangkan cape rachado ini sebagai bukti yang anda sudah berjaya menakluki Tanjung Tuan.
Usah risau jika terlupa atau kehabisan air semasa perjalanan yang agak memenatkan bagi mereka yang jarang bersenam, terdapat satu gerai kecil yang dibuka untuk belian minuman dan makanan ringan termasuk ais krim.


Meninjau Di Tangga
Namun, bergantung kepada nasib bilangan kuantiti stok yang ada di gerai terbabit, jika kehabisan mungkin anda perlu menunggunya. 


Rasa puas tetap ada meskipun sudah berpeluh sehingga ke keting. Penulis 'salute' akan semangat isteri penulis yang berjaya menawan Cape Rachado dengan 'blouse' dan 'jeans' meskipun beberapa kali penulis menyarankan kepadanya untuk berpatah balik namun dia tetap ingin meneruskan perjalanan.


Gambar Kenangan Di Cape Rachado Lighthouse
Mungkin kali pertama di Cape Rachado atau Rumah Api Tanjung Tuan ini, atau ada trip sekali lagi...mungkin haha.

Pelawat hanya boleh mengambil gambar sekitar rumah api sahaja, tiada sebarang kebenaran untuk masuk ke dalam memandangkan rumah api Cape Rachado ini masih berfungsi dan beroperasi.


Rumah Api dan Radar
"Rumah Api yang dikelilingi hutan simpan ini Telah di bina oleh Belanda pada tahun 1817. Ia adalah rumah api yang tertua di Malaysia"
- mppd

Radar Satelit MEASAT

Radar tersebut adalah hak milik satelit Malaysia iaitu MEASAT yang mula dioperasikan pada 1990. Selain rumah api, dan terletaknya radar satelit, kawasan ini juga terkenal dengan 'birdwatching' kerana banyak burung hijrah yang singgah di tanjung yang agak tinggi ini.


Rumah Api dan Radar Tanjung Tuan
Kawasan yang amat strategik dari segi navigasi dan pelancongan. Cukup banyak sejarah yang berlaku pada rumah api ini yang menyaksikan pelbagai peristiwa, penulis dan isteri mungkin boleh berbangga kerana berjaya sampai ke sini meskipun tanpa dirancang.

Mitos untuk lokasi ini adalah, makam Parameswara ada di bawah rumah api tanjung tuan ini dan ada juga yang mengiakan bahawa terdapat laluan terowong rahsia dari rumah api ke pantai.

Mungkin nanti boleh mencuba mendaki bukit batu putih pula.

Informasi Pengunjung

Terletak di penghujung Jalan Pantai Port Dickson, selepas pantai Blue Lagoon.
Berada dalam kawasan negeri Melaka, di mana adalah sempadan negeri antara Negeri Sembilan dan Melaka. Terdapat di dalam Waze dan google maps.


Waze Lokasi Hutan Rekreasi Tanjung Tuan
Untuk masuk perlu membuat bayaran RM1 untuk satu kepala.
Diberikan resit oleh pengawal di pondok pengawal.


Tiket Masuk Hutan Rekreasi tanjung Tuan
Dinasihatkan untuk memakai pakaian yang bersesuaianya dengan tema jungle trekking.
Memerlukan tenaga yang banyak dan bawalah air untuk diminum mengelakkan dari sebarang kesan kekurangan air.

Kawasan parkir agak terhad. Perlu menumpang dengan resort berdekatan. Percuma dan tiada bayaran parkir dikenakan.

Bagi kekuatan 'signal' telefon bimbit, untuk umobile yang penulis gunakan, liputan data masih ada dan boleh membuat pesanan sms, whatsapp dan panggilan.

Mungkin ada pengantin baharu yang kental dengan pakaian pengantin untuk mengambil gambar 'outdoor' di sini ? Memang terbaik

Anda fikir anda tahu Pendakian ke Rumah Api Tanjung Tuan (Cape Rachado) Melaka ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum. 


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.