Header Ads

Pengalaman Di Perlumbaan Formula One Sepang Terakhir 2017 #F1NALE


"F1NALE Sepang"

Formula One bukanlah event yang paling atas dalam event yang penulis sering sertai.
Harga tiket yang agak mahal, booth fanzone yang tidak meriah penyertaan dan 'thrill' perlumbaan yang agak kurang drama berbanding MotoGP. Di acara terakhir untuk litar Sepang Malaysia ini, penulis dan isteri turut menghadirinya pada waktu-waktu terakhir, tanpa dirancang.


F1nale F1 Di Litar Sepang Malaysia
Sabtu, 30 Oktober 2017

Masih keliru adakah ingin menyaksikan sendiri detik-detik terakhir formula one di litar Sepang setelah 19 tahun bersama.

Tanpa berfikir panjang, penulis terus 'merempit' menggunakan kuda Suzuki Belang menuju ke Litar Antarabangsa Sepang SIC. Dengan berbekalkan pulasan pendikit yang menghasilkan kelajuan pada speedometer sebanyak 120km/h (ini saja kuda Belang penulis mampu) selepas melalui SKVE dan memasuki ELITE penulis sampai ke destinasi, SIC.

Sampai di bahagian pintu masuk SIC, mundar-mandir mencari parkir untuk kuda belang, namun polis trafik dan krew SIC populasi mereka cukup ramai, menyukarkan penulis untuk melakukan aksi kurang sopan meletakan motosikal merata-rata. Apa boleh buat, terpaksa membayar RM20 untuk parkir motosikal dan melekatkan pelekat 'Bike Parking' di mud guard bawah tanda penulis bersetuju untuk parkir di situ.

Belian Tiket

Kaunter tiket SIC ketika itu tidak begitu ramai dikerumuni manusia, hanya beberapa warga asing yang merah kulitnya sedang beratur. Cukup mudah mendapatkan tiket. Memandangkan penulis bukanlah orang berada, dua tiket C2 Hillstand (tempat biasa di SIC) berjaya dibeli melalui potongan harga mykad, jika normal mungkin mencecah RM90++ namun menggunakan mykad penulis membayar untuk satu tiket berjumlah RM81++ (itupun sudah mahal jika dibandingkan harga C2 Hillstand MotoGP)


Tiket F1 #F1nale Sepang
Memandangkan F1nale, tabung 'emergency' terpaksa dikopak.

Usai membeli Tiket, untuk tidak menghampakan duit parkir RM20 tadi, penulis berjaya melalui pemeriksaan keselamatan yang dilengkapi dengan pemeriksa X-Ray untuk beg dan bagasi selain dari seumpama protokol memasuki lapangan terbang semua ini untuk keselamatan pengunjung juga, manalah tahu ada anasir luar, acara berprestij semestinya begini.

Sempat juga penjaga dibahagian tersebut berseloroh dengan penulis memandangkan penulis memegang helmet open face, KYT Arrow, "Meh, helmet nak sign". Dua-dua tersenyum tanda faham seloroh tersebut. Penulis pernah memasuki fanzone booth untuk F1 beberapa tahun dahulu, tiada sebarang kelainan dari waktu ini, kemeriahan fanzone booth F1 memang berbeza dengan fanzone booth MotoGP. Boleh diperhatikan perbezaannya.


Gamezone F1
Fanzone booth yang mengambil ruang antara pejabat pentadbiran SIC sehingga pintu masuk grandstand ini dipenuhi dengan 'booth' permainan, gamezone.

Pameran jentera F1 tajaan Petronas, dan fanzone untuk pasukan Petronas merupakan booth pertama sekali dikunjungi penulis. Pembelian barangan cenderamata Petronas F1, permainan interaktif, kuiz, pameran jentera F1 dari dahulu dan sekarang ada di ruangan ini yang agak besar.

Hisense turut membuka booth mereka. Sepanjang perjalanan menuju ke arah pintu masuk Grandstand pengunjung akan menempuhi booth pembelian cenderamata SIC, Fanzone Game, dan pelbagai permainan interaktif seperti pit stop challenge, checkered flag challenge, main tekan lampu dan banyak juga permainan interaktif yang dihubungkan kedua-dua bahagian dengan permaindani artifisial yang bewarna hijau selain diletakkan bangku dan meja berpayung di tengahnya.

Hari Sabtu biasanya pengunjung boleh bersama pemandu jentera F1, ketika kedatangan penulis, Kimi Raikonnen sedang melayan peminat di atas pentas konsert dan turut ditemani beberapa pelumba lain.

Melihatkan awan kumulus yang sedang galak untuk bersatu padu menjadi kumulunimbus, penulis terus menuju ke PA1 untuk pulang menemui isteri di rumah yang sedang mereneh sup tulang lebihan hari raya kurban lepas.

Ahad, 1 Oktober 2017

Kita tolak aktiviti makan dahulu di gerai wak, aktiviti selfie dalam kesesakkan trafik disebabkan ketidakbertimbangrasaan pihak kontraktor jalan yang membuat pembaikan jalan pada waktu puncak, melalui SKVE dan Elite seperti biasa untuk ke SIC selepas RNR Dengkil keadaan trafik mula menjalankan aktiviti perlahan.

Sehinggalah tol KLIA trafik dalam kategori oren jika dalam waze, namun mula merah di susur keluar menuju ke masjid KLIA sehingga bulatan kecil yang memerlukan penulis mengambil 'exit' kedua untuk ke SIC. Masih lancar tidak seperti asakkan trafik untuk MotoGP.

Sudah terbiasa dengan saban tahun menjadikan C2 Hillstand sebagai tempat 'spectating' perlumbaan, penulis terus menuju ke Bay 8. Bayaran parkir adalah RM20. 

Hujan mula rintik-rintik dan tiba-tiba lebat. Hujan yang sudah dijangka. Sekitar jam 12.30 penulis dan isteri memasuki laluan masuk C2a dengan menggunakan tiket sah. Setelah dikesan kod bar pada tiket, mencari tempat duduk juga penting memandangkan kesesakkan mungkin berlaku di bahagian 'covered' berbumbung kerana hujan masih rintik-rintik.



Berbekalkan 4 helaian plastik sampah hitam, penulis dan isteri melabuhkan punggung. 

Terlepas beberapa acara perlumbaan termasuk perlumbaan Formula 4 SEA dan Malaysia Championship Series yang berlangsung sebelum kedatangan penulis.

Porsche Carrera Cup Asia

Ketika itu sedang berlangsung acara perlumbaan kereta Porsche Carrera Cup Asia. Hujan telah menyebabkan keadaan litar yang kurang selamat dan pemandu perlu mengikut belakang safety car sebelum dilepaskan semula. Namun, masih boleh didengarkan bunyi letupan menukar 'gear' di selekoh pada litar. Acara ini adalah selingan sebelum menunggu acara utama pada jam 3 petang waktu Malaysia. 


Porsche Carrera Cup Asia
Menarik untuk dilihat carrera GT yang bewarna-warni membelah lelehan air hujan melintasi trek litar yang menghasilkan asap wap air dibelakang kereta. Dalam perlumbaan Carrera Cup Asia ini kemenangan diungguli oleh Martin Ragginger dari pasukan Porsche Holding.
Martin Ragginger Juara Carrera Cup Di Sepang
Kemenangan bergaya selain dari 'livery' keretanya yang cukup bergaya, hitam-emas.

Cukup terhibur dengan warna-warni dan deruman enjin Carrera GT bagi menghilangkan kebosanan pengunjung, acara 'naik lori' turut diadakan.


SIC Truck Tour
Kurang pasti siapakah yang berpeluang menaiki lori yang melalui litar dari permulaan sehingga penghujung, meski 'keras' harganya untuk merasai 'view' dari pelumba di SIC. Kebanyakan adalah warga luar Malaysia, selain menghiburkan mereka yang berada di atas lori, menjadi hiburan kepada pengunjung di mana-mana 'stand' yang ada. Acara ini dikenali sebagai 'Truck Tour'.

Pelumba-pelumba jentera F1 diarak dengan menaiki kereta-kereta retro dari pengeluar-pengeluar masing-masing. 'Driver's track parade' kali ini menampilkan semua pelumba F1 di arak menaiki kereta antik dan retro tempatan.


Driver's Track Parade
Vettel ferrari retro
Max Verstappen Retro car
Kurang sejam lagi untuk memulakan perlumbaan terakhir dengan hastag #F1NALE ini lagu negaraku dimainkan dan pengunjung berdiri. Tepat jam 2.45 petang lintas hormat dari 4 buah pesawat MIG milik tentera Udara Malaysia (TUDM), 3 melakukan aksi di atas bangunan dan satu melakukan 'sortie' low level flying yang separas dengan tempat duduk grandstand.


Tudm MIG Flypass F1 Sepang

Perlumbaan F1 Bermula


Tepat jam 3 petang, selepas melakukan warming up lap pada 5 minit sebelumnya, kesemua pelumba F1 dilepaskan. Pada pusingan pertama dari 56 pusingan, Lewis Hamilton yang merupakan terpantas di sesi kelayakan hari sebelumnya mengungguli tempat pertama. Dicabar rapat oleh Max Verstappen dari Red Bull, dan akhirnya pelumba McLaren itu terpaksa akur dibelakang Max. 


Hamilton and Verstappen at Turn 10
Beberapa kali juga Lewis cuba untuk mengasak Max untuk kembali menerajui pusingan namun keberanian Max dalam sesi litar yang basah sukar dicabar. Max meneruskan stamina dan fokus sehingga dinobatkan sebagai Juara untuk perlumbaan Petronas Formula One Sepang SIC ini seterusnya menutup senarai nama pemenang F1 di litar yang pernah menjadi saksi Alex Young anak muda Malaysia berada didalam 'cockpit' jentera F1.


Lewis Hamilton Leading
Max Verstappen Pintas Hamilton
Dua pelumba gagal menghabiskan perlumbaan kerana masalah teknikal dan terbabas. Nasib malang untuk peminat Ferrari apabila di akhir-akhir pusingan Sebatian Vettel yang jenteranya bernombor 5 telah berlanggar dengan Lance Stroll sehingga merosakkan roda belakang jenteranya. Dengan selamba, Vettel mencabut 'steering' dan menumpang jentera Pascal Wehrlein untuk kembali ke Pit. 

Jika mengikut artikel undang-undang F1 itu adalah kesalahan namun undang-undang hanyalah undang-undang, kenapa begitu serius ?


Vettel tumpang Kawan
Adegan Vettel menumpang jentera lain menarik hati pengunjung dengan sorakkan semangat meskipun dikawal oleh safety car dari belakang.


Max Verstappen Red Bull Winner
Tahniah Max Verstappen dari Red Bull. 

Fanzone Booth & Konsert F1

Masih awal untuk pulang, penulis dan isteri sempat menaiki 'shuttle bus' menuju ke fanzone booth semula untuk melihat sekali lagi kemeriahan fanzone booth untuk terakhir kali bagi F1, MotoGP datang lagi.


Konsert F1
Bagi konsert Anugerah Planet Muzik, penulis dan isteri sempat menonton persembahan dari Hael Hazmi, Ayda Jebat dan salah seorang penyanyi yang sukar diingati yang menyanyi lagu 'go back' ke apa. Melihat telatah warga luar yang pelik terutama warga luar yang sedang galak bermain air di dalam kolam tadahan.


Pameran Kereta Retro
Dodge Challenger SRT bewarna putih dan kereta antik atau retro kelihatan nun kejauhan disana sebelum penulis dan isteri melawat booth Honda yang sedang rancak mempromosikan 'Honda Civic Type-R' mereka. Kereta idaman yang sekadar mampu dilihat.


Dogde SRT Challenger

Honda Civic Type R Baharu
Kesesakan Trafik

Satu cabaran lagi perlu dihadap seperti biasa. Kesesakkan trafik. Jalan keluar menuju ke Jalan Pekeliling terpaksa ditutup kerana terlalu sesak. Penulis terpaksa masuk ke laluan menuju ke Bandar Einstek namun mengambil keputusan melalui pekan Sepang untuk ke Banting. Tiada sebarang kesesakkan trafik namun agak jauh dan bukanlah satu keputusan terbaik untuk kereta mereka yang cepat kehabisan bahan api.

Jalan menuju ke Nilai seperti yang biasa penulis lalui mengikut waze cukup sesak dan tiada apa boleh dilakukan selain bersabar sahaja. Biasalah tempat sebegini.


Selfie F1 sebelum Pulang
Terima kasih kepada abang-abang polis trafik yang menjaga aliran lalulintas, abang-abang rapid KL yang menjaga dan menjadi pemandu shuttle bus, serta krew-krew yang terlibat dalam penganjuran perlumbaan Formula One terakhir #F1NALE di Sepang International Circuit 2017.

Harap berjumpa lagi. 


Thank You Malaysia F1
"Our Story in Formula One Continues"

Anda fikir anda tahu Pengalaman Di Perlumbaan Formula One Sepang Terakhir 2017 #F1NALE ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.