Sup Utara Johan Setia Klang Sup Daging & Ayam Empuk Sedap dan Murah


"Sup Utara Johan"

Istilah sup utara bukan sesuatu yang asing walaupun berada di jajahan selain utara semenanjung Malaysia. Hidangan 'trademark' berasaskan sup yang didatangkan menu dan resipinya dari utara semenanjung Malaysia kebanyakan penguasa adalah penduduk berasal dari Kedah.


Gerai Sup Utara Johan Setia Klang
Bagi menambahkan lagi identiti sup utara, pemiliki, pengusaha dan pekerja boleh bertutur dengan cemerlang dalam loghat utara.


Johan Setia, Klang, merupakan sempadan Shah Alam dan Klang. Mula pesat membangun dengan pertambahan residen penempatan dari sebuah kawasan berasaskan pertanian. 

Masih memiliki tanah pertanian di bahagian tengah Johan Setia yang sentiasa 'menganugerahkan' penduduk sekitar dengan jerebu hasil pertanian sayur-sayuran. Johan Setia sudah menampakan tanda-tanda menjadi bandar satelit, dengan wujudnya rumah-rumah kedai, taman perumahan seperti Bandar Putera 2 selain daripada sebuah masjid yang baharu siap dibina.

Johan Setia Pekan Satelit

Sebagaimana pekan satelit lain, wujud penempatan, segala fasiliti maka akan wujud tempat mendapatkan makanan. Bagi penduduk dan pengguna jalan Johan Setia yang biasa melalui sebatang jalan yang menghubungkan Jalan Klang-Banting dengan Jalan Kebun, waktu pagi bukan susah untuk mendapatkan sarapan tidak kira nasi lemak, bihun atau mee goreng dan kuih muih pagi. 

Sup Utara Johan, nama yang digunakan sebuah kedai berasaskan sup, telah wujud di hadapan Sekolah Kebangsaan Johan Setia. Dibuka pada setiap hari kecuali hari Rabu dan hari cuti awam. Mula beroperasi dari jam 11 pagi sehingga 11 malam. Sup daging dan sup ayam merupakan hidangan asas kedai ini. Berkonsepkan gerai pacak bersebelahan tali air, dengan suasana keriuhan kegembiraan kanak-kanak pulang ke rumah sesuatu yang mampu membangkitkan selera menikmati hidangan sup.

Rasa Sup dan Rempahnya

Sup yang disediakan oleh pengusaha gerai ini cukup sedap. Sekali hirup akan terasa sekali air rebusan yang berpunca dari jus isi daging lembu atau isi daging ayam. Bukan sekadar merenehkan rempah ratus dan ajinomoto atau knorr pasti sedap, tetapi direneh daging lembu dan ayam dari air rebusan. Seorang penggemar sup yang tidak professional sebagaimana penulis pun boleh mengetahui punca sup dari air rebusan daging dan ayam, kerana jus dagingnya masih kekal selain dari ketulan hirisan daging yang empuk dan tidak liat. 

Daging Lembu yang Empuk

Dari pengalaman penulis, menyiang dan memotong daging lembu ketika kenduri-kendara di kampung, cara hirisan daging cukup penting bagi menghasilkan daging (isi, bukan bahagian urat) yang tidak liat dan tidak menampakan kriteria mengunyah 'chewing gum'. Hirisan melintang dari jalur urat daging dipraktikan pengusaha kedai bagi mendapatkan struktur ketulan daging yang mampu dikunyah tidak kira anda memiliki gigi yang kuat dan sihat apalagi mereka yang menggunakan gigi palsu yang dilekatkan dengan polident.

Pemilik gerai cukup peramah, seorang yang cukup ikhlas dalam menyediakan hidangan. Layanan yang baik memberikan gerai Sup Utara Johan ini pelanggan tetap yang akan sentiasa mengunjungi gerai bagi mencari alternatif kepada masakan panas lain. Bihun sup, Kue Teow sup, dan mee sup adalah menu utama selain semangkuk sup yang turut dihidangkan dengan sepinggan nasi putih.

Harga Hidangan Sup

Bihun Sup Daging dan Perut
Bihun Sup Daging dan Perut
Pilihan antara sup daging (lembu) atau ayam adalah lauknya. Hidangan sepinggan nasi bersama sup boleh diminta add-on telur masin. Temani segala hidangan utama ini minuman seperti sirap limau, limau ais, teh o ais dan pelbagai minuman yang biasa didapati di gerai-gerai, jangan pula meminta air yang pelik-pelik kerana mungkin akan mengundang senyuman sinis pemilik. 

Bagi hidangan dua orang kebiasaanya tidak akan melebihi RM15, dan boleh dikatakan harga masih berpatutan, bagi mereka yang menetapkan bajet sekali makan RM10 dan ke bawah bagi seorang.


Lokasi Gerai Sup

Lokasi gerai Sup Utara Johan cukup mudah untuk ditunjukkan. Betul-betul bertentang dengan padang Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang. Dibelakang gerai sebatang tali air dan gerai ini berada dalam keadaan solo, atau tiada pesaing sebelah menyebelah. Cubalah dan nilaikan sendiri selera dengan gerai atau restoren berkonsepkan ala utara yang lain.

Anda fikir anda tahu Sup Utara Johan Setia Klang Sup Daging & Ayam Empuk Sedap dan Murah ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.

Catat Ulasan

0 Ulasan