Header Ads

Nasi Bukit Ayam Penyet Padang Jawa Kongsi Nasi Satu Pinggan Dua Orang


"Raja Bukit"

Raja bukit biasanya diberikana kepada otai-otai dalam hiking ataupun seorang pelumba basikal marathon yang mampu sprint pada keadaan jalan berbukit. Namun raja bukit yang ingin dikongsikan ini adalah dalam kategori karbohidrat dan beberapa gram protein. Terletak di kawasan yang sememangnya syurga makanan yang pelbagai dan murah kedai Nasi Bukit Ayam Penyet Kg Padang Jawa Shah Alam memiliki keunikan lain.


Nasi Bukit Viral Ayam Penyet Padang Jawa Selangor
Kedai Nasi Bukit Padang Jawa

'Portion' nasi dalam masakan panasnya boleh dikategorikan sebagai bukit, begitu banyak, satu pinggan memerlukan dua atau tiga orang untuk menghabiskannya. Jika diletakan semut sebagai ukuran, semut tersebut memerlukan kelengkapan yang cukup seperti harness, repelling gear, dan semua PPE yang diperlukan seorang pendaki manusia dalam cubaan menawan puncak Gunung Nuang sebagai metafora.


Restoran yang terletak di alamat 22, Jalan Mat Raji, Taman Baru, 40200 Shah Alam, ini sudah lama sebenarnya bertapak di kawasan tersebut, yang turut dikenali orang residen tempatan dan pengunjung setia sebagai kedai bawah pokok, lebih tepat lagi pokok mangga.

Penulis berpeluang untuk mencuba apa yang menjadi keunikan kedai makan nasi bukit ini. Keunikan hanya terdapat pada masakan panasnya, lain-lain menu seperti ayam penyet dan nasi ayam sebagaimana kedai-kedai lain. Penulis berpeluang mencuba makanan di kedai ini ketika hari Ahad, cukup bersemangat untuk mencuba sehinggakan kedai belum dibuka namun sudah tercongok bersama isteri di meja makan kedai tersebut.
Ahad kedai ini dibuka pada jam 1230 tengah hari. 

Dengan gaya seorang yang memiliki 'level' kenyakinan yang tinggi memandangkan penulis dan isteri belum lagi mencuba nasi bukit disini meskipun beberapa kali sudah datang ke Kg Padang Jawa untuk menggunting rambut dan servis motosikal namun ini kali pertama penulis untuk merasai keunikan kedai nasi bukit Padang Jawa ini.

Kedai ini memiliki lebih kurang empat orang kakitangan, dua di bahagian masakan panas, satu bahagian ayam penyet dan pembungkusan dan seorang lagi dibahagian 'sous chef' cashier juga merangkap pembantu dan pelayan. Bilangan ini merencatkan sedikit masa yang diperlukan untuk pelanggan mendapatkan hidangan mereka jika dia memerlukan masa yang pendek untuk makan. Ayam penyet tidak menjadi masalah kerana sudah tersedia, namun pada 'jabatan' masakan panas agak lama sedikit untuk menyiapkan hidangan mereka mungkin kerana portion nasi yang sememangnya banyak untuk disiapkan.


Nasi Bukit Portion Banyak Daging Paprik Nasi Goreng Kampung
Nasi Goreng Nasi Bukit

Nasi goreng kampung dan nasi goreng daging paprik menjadi pilihan penulis dan isteri untuk mencuba makanan disini. Bentuk fizikal bolehlah membuat rujukan pada gambar yang disediakan memang tidak dapat disangkal lagi betapa bukitnya portion nasinya dan lauk, boleh juga dikelaskan sebagai makan nasi dalam talam namun pinggan sebagai ganti talam.

Bagaimanakah pula rasanya ? Rasanya boleh tahan, nasi goreng kampung cukup lengkap dengan ikan bilis yang jika dibela mungkin memuatkan aquarium satu kaki, kangkung dan sayuran serta ada rasanya untuk menjadikan hidangan ini bernama nasi goreng kampung. Bagi nasi goreng daging paprik pula, agak kurang dari aspek rasanya tidak semegah mana-mana kedai tom yam yang ada menyediakan hidangan paprik yang pernah penulis dan isteri rasai. Namun, dagingnya cukup besar potongan sehinggakan urat keting banyak 'berkeliaran' di dalam kuah paprik.

Penulis dan isteri gagal dinobatkan sebagai 'raja bukit' kedai ini kerana gagal menghabiskan sepinggan hidangan bagi pinggan masing-masing. Dengan rasa hibanya penulis membawa dua pinggan makanan tersebut ke kaunter bayaran untuk dibungkus dan bersama dengan segelas nescafe ais semua hidangan berharga RM 16.50. Cukup berbaloi dengan kapasiti bijirin beras dan populasi lauk yang banyak meskipun rasanya mencapai kategori sesedap anak tekak.

Semua itu bukan penghalang memandangkan kedai makan nasi bukit Padang Jawa ini sudah mula tular di mana-mana media sosial, sehinggakan kenderaan yang lalu lalang sentiasa memandang 'signboard' pada kedai menandakan bahawa inilah kedai yang dicari-cari mereka. Cadangan untuk mengunjungi kedai makan nasi bukit padang jawa bagi yang datang jauh, alaslah sedikit perut kerana berkemungkinan makanan yang tiba tidak secepat yang anda bayangkan jika memilih masakan panas dari kedai ini dan yang paling afdal bagai dua orang mintalah hanya sepinggan masakan panas jika anda manusia yang normal.

Selain nasi bukit (masakan panas), ayam penyet, nasi ayam madu turut dihidangkan di kedai yang menjadi tumpuan bagi pelajar berdekatan yang sudah kekeringan wang pinjaman PTPTN. Rasai sendiri nasi bukit disini bagi menguji tahap nafsu makan anda adakah berkadar terus dengan kapasiti badan dan jiwa anda.

Anda fikir anda tahu Nasi Bukit Ayam Penyet Padang Jawa Portion Nasi Satu Pinggan Dua Orang ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum.



Tiada ulasan:

I'm only responsible for what I post NOT for what you understand

Dikuasakan oleh Blogger.