Header Ads

Rizqin Steamboat N Grill Jalan Kebun, Steamboat & Grill Murah Di Shah Alam


"Steamboat & Grill"

Dua gabungan penyediaan makanan sebelum ke mulut melalui esofagus untuk bertapa di perut yang sudah popular di masa kini.

Ada steamboat, ada grill dan bakar-bakar. Bunyi gelegakkan air bancuhan sup dan tom yam, desiran pelbagai sos perapan daging dibakar di atas kerajang aluminium mampu menghilangkan sejenak hiruk pikuk kesibukan harian.

Pertumbuhan kedai makan steamboat & grill di seantero malaysia sukar di nafikan lagi. Dengan konsep, bayar dengan harga tertentu, makan sampai lebam, sampai kembung, konsep yang menjadikan steamboat & grill suatu konsep santai bersama keluarga dan rakan-rakan.

Namun dalam kerancakan tumbuhnya restoren-restoren yang menjadikan konsep ini semakin popular menjadi seorang pengguna yang bijak itu yang utama.

Di zaman 'nak mengundi baru ada perubahan' ini, atau lebih sinonim dengan zaman kais pagi,kais petang makan malam, bijak dalam memilih tempat steamboat & grill yang mempunyai kriteria ekonomi amat perlu. Kriteria ekonomi yang dimaksudkan adalah pelbagai variasi bahan mentah untuk dicelup dan dibakar, serta harga lebih mesra dompet.

Jalan Kebun, Kota Kemuning Shah Alam, tidak terkecuali dalam persaingan untuk merebut seksyen manakah menjadi syurga makanan untuk shah alam khususnya, selangor amnya.
Salah satu restoren anak watan yang menjanjikan konsep steamboat & grill yang sangat ekonomi adalah RIZQIN STEAMBOAT N GRILL.




Harga

Dalam usaha untuk menyaingi restoren steamboat & grill yang lain, rizqin steamboat n grill merupakan antara kedai yang menawarkan harga paling murah setakat artikel ini ditaip.

Memperkenalkan tiga kategori dalam penetapan harga.

Dewasa : RM18.50 RM 22.90
Kanak- kanak 5-12 thn : RM9
Kanak- kanak 5 ke bawah : Percuma

Waktu Operasi : Dibuka bermula jam 6 petang dan ditutup pada 12 tengah malam.

Lokasi

Berkedudukan tidak berapa tepi jalan sangat, Medan Selera MBSA yang agak lama tidak digunakan, namun jika anda membawa kenderaan bawah 60km/j anda masih boleh melihat kewujudan kedai ini. 






Disempadani dengan sebuah tali air dan semak samun menjadikan restoren ini agak kurang jelas dilihat.




Rizqin Steamboat n Grill 'waze n google maps friendly'. Gunakan keyword 'Rizqin Steamboat n grill' makan waze atau google maps boleh menunjukkan anda ke jalan kebenaran.

Makanan/Minuman

Berbanding capsicum yang berada tidak jauh dari restoren ini, kuantiti pemilihan bahan mentah steambot dan untuk di bakar dimenangi restoren ini.



 Bahan mentah untuk dicelup ke dalam sup/tom yam, daging/ayam yang diperap, hasil laut sotong/udang, sayuran, buah serta nasi goreng terhidang sedia untuk dijamah.




Tiada sebarang beza dalam hidangan jika kita cuba menjelaskan perbandingan penyediaan makanan pada setiap tempat restoren yang menghidangkan konsep steamboat & grill, semua sama melainkan perapan yang dilakukan terhadap ayam/daging/kambing.




Hanya fish ball yang basi sahaja mampu membezakan rasanya. Oleh itu, untuk perbandingan, perapan terhadap daging ayam/lembu/kambing di rizqin cukup rasanya meskipun anda leka ketika membakar sehingga hitam legam daging tersebut, namun perisanya tetap ada.

Perasa black pepper, bbq dan di tambah dengan satu perasa perapan herba mungkin menjadikan perapan dari rizqin agak berbeza. Sedap, itulah yang berjaya dicungkil dari pelanggan. Rasa sos manis dan perasa berbeza tidak begitu menonjol, bak bait dalam lagu dangdut, yang sedang-sedang sahaja namun sedap.





Air yang disediakan terdiri daripada teh 'o', oren, Air Suam/Kosong, dan juga terdapat air yang bewarna hijau, sirap mungkin.

Aiskrim perisa pudina merupakan pencuci mulut yang paling laris berbanding perisa coklat, dan perisa keladi.



Suasana

Dengan bertemakan 'alunan alam', persekitaran restoren ini amat sesuai bagi komposer atau penulis lirik yang cuba mencari ilham ketika menjamu selera.

Jika bunyi gelegakkan sup/tom yam atau desiran grill yang dibakar agak sedikit nilai desibelnya anda akan dapat mendengar cerikkan cengkerik krik krik krik dan jika anda bertuah anda juga dalam mendengar bunyi kocakan air dari anak sungai berhampiran jika tiada sebarang kenderaan berekzos besar melintasi Jalan Kebun di hadapan.

Suasananya juga boleh diibaratkan sebagai yang sedang-sedang sahaja apabila kedamaian alam sekitar telah menyeimbangi bunyi-bunyi ekzos dari jalanan.




Keunikan Rizqin adalah proses memanaskan periuk dan kerajang aluminium bebas bauan gas LPG. Rizqin menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Dengan talaan yang ringkas pada alat pemanas anda sudah mampu menggelarkan diri anda seorang electrical technician.

Tiada bau gas, tiada bunyi 'ktik ktik' pemetik api, jika ribut atau sebarang gangguan angin api tidak akan terpadam kerana segalanya eletrik.




Ketika artikel ini ditaip, restoren ini hanya baru bertapak sebulan, dan keadaan pelanggan masih lagi kurang dibandingkan tempat lain. Jika anda inginkan konsep steamboat & grill yang murah, tenang, banyak pilihan, Rizqin Steamboat n Grill adalah tempatnya.

Anda fikir anda tahu Rizqin Steamboat N Grill Jalan Kebun, Steamboat & Grill Murah Di Shah Alam ?

Anda fikir sekali lagi....

Assalamualaikum....

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.