Kepelbagaian Bio Makanan "Side Dish" Negeri Kelantan Di Bulan Ramadhan



Kelantan. Sebuah negeri yang berada nun jauh di sebelah timur tepi sedikit ke arah kiri semenanjung Malaysia. Negeri yang selalu menjadi bualan ramai bila terdapatnya sesuatu yang menganggu fikiran para hatersnya. Dengan kecomelotean dan gagah perkasa penduduknya terdapat berjuta satu nikmat yang tiada bandingnya yang terdapat di negeri Kelantan terutama ketika musim ramadhan al-mubarak saban tahun.

Negeri yang tidak asing lagi dengan kepelbagaian bio serta fizik makanannya, sudah terbukti di antero malaysia khasnya seperti nasi kak wok ala-ala, me'nate dan tidak lupa nun di subang jaya kelantan delights.

Mari kita telusuri beberapa juadah popular untuk diburu sebelum menunggu waktu iklan kicak cuko cili soh abih belako doh ni ke udara di corong radio :

1. Satar

Setiap kali tibanya ramadhan makanan yang diperbuat ikan (ikan tenggiri biasanya) yang diadun dengan pelbagai ramuan seumpama kerabu menjadi kegemaran masyarakat tempatan terutama yang tinggal di sekitar pesisir pantai. Isi ikan asli dan adunan pelbagai ramuan menjadikan satar mampu bersaing dengan lauk-pauk lain untuk memikat hati nasi putih. 

Satar boleh di makan begitu sahaja ataupun jadikan satar sebagai lauk. Dengan ramuan yang lengkap hidangan satar mampu mendominasi piramid zat makanan yang pernah kita pelajari semasa pendidikan jasmani.




2. Kangkas Nasi Kerabu (kangkas tu perencah)

Kebiasaannya nasi kerabu sudah cukup lengkap dalam satu bungkusan kertas. Namun, di bulan ramadhan, sedikit inovasi perlu ada. Para penjual kuih biasanya di kampung-kampung akan menjual kangkas nasi kerabu ini tanpa nasi dan lauk. 


Bagi yang sedia maklum nasi kerabu diklasifikasikan kepada dua jenis, iaitu nasi kerabu kering dan satu lagi nasi kerabu tumis. Nasi kerabu tumis itulah yang dibuang nasi dan lauk secara literalnya. Dengan kata lain hanya ulam-ulaman dan sambal tumis di jual.Ala carte, supaya masa berbuka boleh dimakan dengan pelbagai jenis nasi yang disediakan.





3. Kerabu Sarang

Salah satu dari puluhan jenis kerabu. Ala-ala saranghae pun ada. Kerabu yang menggunakan pelakon utamanya yang bernama rumpai laut. Amat sesuai dijadikan side dish bila di makan bersama nasi putih serta dua hidangan tadi.




4. Otak-otak

Popularity dan branding makanan ini sudah tersohor dipelusuk negara. Sehinggakan warga vietnam dan kemboja sudah mula berkecimpung dalam bidang pembakaran otak-otak di sekitar kedai makan dan restoran. Sebagai side dish makan bersama nasi agak jarang dilakukan netizen, namun ada kelaiananya jika di makan bersama nasi.




5. Ketupat Sotong

Makanan yang diragukan kategorinya. Adakah dari susur galur kuih atau salasilah lauk-pauk. Namun sebarang spekulasi yang melanda hidangan ini tidak mampu menghalangnya menjadi salah satu makanan most wanted di bulan ramadhan yang berkah ini. Rasa liat sotong serta kemanisan kuahnya mampu membuka selera yang sekian lama tertutup.

 Oleh kerana kecelaruan identitinya, hidangan ini sesuai di makan begitu sahaja selepas minum air kosong dan beberapa biji kurma dan mungkin juga sesuai dijadikan lauk sampingan bagi yang mengemari aktiviti lasak di dalam halkum.




6. Akok Kedut

Kelantan memang tidak lari dari kuih muih yang begitu pelbagai seumpama buih-buih di lautan. Namun, jika kita fokuskan dalam bulan yang mulia ini, kuih akok kedut menjadi pujaan ramai. Memiliki rasa lembut dan lemak manis mampu meruntuhkan iman seorang pengkritik makanan. 

Dibakar dengan sabut menjadikan aroma keasliannya menambahkan lagi kecur di air liur. Bak kate masyarakat tempatan "lagi kedut lagi sedak".





Secara lahiriahnya itulah antara hidangan sampingan yang agak mendapat sambutan yang masyhur dan walaweh ketika bulan ramadhan. Memang kepelbagaian bio lagi jenis makanan yang terdapat di kelantan, namun ini adalah antara hidangan tepi-tepi yang selalunya dicari disekitar kampung dan pekan (tidak termasuk bazar ramadhan) sambil menunggu iklan kicak cuko cili soh abih belako doh ni di corong radio menandakan puasa untuk hari tersebut akan berakhir dengan kenikmatan. Kalau ada lebih tu jangan dilupa jiran tetangga, dalam kenikmatan makanan yang sedap-sedap dapat juga nikmat sedekah di bulan ramadhan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...